Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lawatan Anwar Ke Itali, Perancis, Brazil Letak Malaysia Di Pentas Ekonomi, Kemanusiaan Global

09/07/2025 11:10 AM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman dan Ummu Khalidah Hamzah

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, Perancis dan Brazil disifatkan sebagai langkah strategik yang dapat memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap ekonomi dan geopolitik global.

Pakar ekonomi Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata inisiatif diplomatik seumpama itu membuka laluan kepada pelaburan berkualiti, perkongsian teknologi serta pengukuhan hubungan Malaysia dengan blok ekonomi baharu seperti BRICS.

“Lawatan seperti ini bukan sekadar simbolik, tetapi memberi mesej jelas bahawa Malaysia bersedia memainkan peranan lebih aktif dalam membentuk masa depan ekonomi global yang lebih seimbang dan inklusif,” katanya kepada Bernama.

Ahmed Razman yang juga Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Putra Business School berkata Malaysia tidak boleh kekal statik dalam ekosistem ekonomi global yang semakin dipengaruhi oleh perubahan kuasa serantau, dan kebangkitan blok ekonomi baharu seperti BRICS yang kini merangkumi lebih 40 peratus ekonomi global.

“Kita melihat BRICS sebagai gabungan negara yang berusaha mewujudkan sistem ekonomi pelbagai kutub, yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kuasa tunggal. Malaysia perlu bijak menyesuaikan dasar luar dan ekonomi bagi mengekalkan daya saing,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keterlibatan aktif Malaysia dalam BRICS dan forum ekonomi serantau mampu membawa manfaat kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan limpahan ekonomi secara menyeluruh.

“Lawatan seperti ini adalah pelaburan jangka panjang untuk negara. Ia menandakan komitmen kita untuk membina masa depan ekonomi yang lebih saksama, mampan dan dinamik.

“Mesej utama yang cuba disampaikan oleh BRICS adalah bahawa dominasi ekonomi satu kuasa besar akan berakhir. Masa depan harus diterajui secara bersama oleh negara-negara yang berdaulat,” katanya.

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke ketiga-tiga negara berkenaan bermula di Itali pada 1 Julai dan berakhir di Brazil pada 7 Julai berjaya membuka peluang pelaburan baharu, dengan potensi pelaburan melebihi RM8 bilion di Itali, manakala di Perancis anggaran potensi pelaburan mencecah kira-kira RM4 bilion.

Di Brazil, Anwar menyifatkan lawatan ke Rio de Janeiro bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 sebagai satu kejayaan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia di peringkat global.

Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Prof Dr Barjoyai Bardai berkata lawatan Perdana Menteri ke negara-negara berkenaan adalah langkah strategik yang membawa kesan positif kepada ekonomi negara, terutamanya dari sudut keyakinan pelabur asing.

“Impaknya bukan serta-merta, tetapi penting untuk membina hubungan diplomatik yang lebih erat. Ia memberi isyarat bahawa Malaysia bersedia menjadi rakan ekonomi yang serius,” katanya.

Barjoyai berkata pengumuman potensi pelaburan di Itali dan Perancis mencerminkan minat tinggi negara-negara berkenaan terhadap Malaysia.

“Walaupun belum dimuktamadkan, minat awal sebegini memberi kesan psikologi positif kepada pasaran dan pelabur dari negara lain yang turut mahu meninjau peluang di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kekuatan dalam bidang semikonduktor, iaitu sektor yang sangat diperlukan di Eropah dan ia memberi peluang besar untuk kerjasama teknologi rentas benua.

“Dengan perancangan susulan yang baik, lawatan ini boleh diterjemahkan kepada pelaburan berimpak tinggi dan meletakkan Malaysia sebagai hab teknologi utama di rantau ini,” katanya.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap isu kemanusiaan di Asia Barat, khususnya berhubung Gaza dan serangan terhadap Iran.

Beliau menyatakan bahawa pemimpin seperti Presiden Perancis Emmanuel Macron, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni dan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva turut senada dalam menyuarakan keprihatinan terhadap situasi berkenaan.

Prof Madya Dr Bakri Mat dari Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) Universiti Utara Malaysia menyifatkan tindakan Malaysia menyuarakan pendirian itu sebagai cerminan dasar luar yang berpaksikan nilai keadilan dan kemanusiaan sejagat.

“Saya melihat kesediaan Malaysia bersuara dalam isu Gaza dan serangan terhadap Iran sebagai manifestasi dasar luar yang berprinsip, berpaksikan keadilan dan nilai kemanusiaan sejagat. Malaysia tidak memilih jalan selamat yang diplomatik semata-mata, sebaliknya tampil menyuarakan kebenaran secara bertanggungjawab, biarpun di hadapan kuasa besar,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa apabila pemimpin Barat seperti Macron dan Meloni turut menyuarakan keprihatinan terhadap Gaza, ia menunjukkan krisis itu bukan hanya menjadi isu dunia Islam, tetapi telah diangkat sebagai isu kemanusiaan sejagat.

“Pada saya, mesej utama yang dihantar Malaysia adalah bahawa isu Gaza bukan hanya agenda dunia Islam, tetapi krisis kemanusiaan global. Apabila pemimpin Barat dan Latin turut berkongsi keprihatinan yang sama, Malaysia memperlihatkan sumbangannya untuk membina suara kolektif antarabangsa yang melangkaui sempadan ideologi,” katanya.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Meloni yang menyokong prinsip penyelesaian dua negara sebagai perkembangan penting dalam diplomasi Eropah terhadap Palestin.

“Secara diplomatik, kenyataan Meloni memberi impak besar, ia menandakan pergeseran nada daripada seorang pemimpin kanan Eropah dengan penyataan secara terbuka menyokong negara Palestin. Dari sudut jangka panjang, langkah Meloni ini boleh mendorong negara-negara Eropah lain untuk lebih berani menyokong penyelesaian dua negara secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata lawatan itu turut dilihat sebagai penanda aras baharu dalam pendekatan dasar luar Malaysia yang lebih seimbang, tegas dan berwibawa di bawah kepimpinan Anwar.

“Saya melihat lawatan ini sebagai penting kepada pendekatan dasar luar Malaysia. Perdana Menteri bukan sahaja membawa agenda pelaburan dan kerjasama ekonomi, tetapi juga menekankan prinsip kemanusiaan dan keadilan global dalam setiap pertemuan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan