Empat Wanita Cedera, Bas Ekspres Langgar Belakang Treler

12/07/2025 09:16 AM

SEREMBAN, 12 Julai (Bernama) -- Empat wanita cedera ringan selepas bas ekspres yang dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori treler di Kilometer 243.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau Mohd Kassim Arippin berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian membabitkan mangsa berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu pada 2.52 pagi.

Beliau berkata bas berkenaan membawa 30 penumpang terdiri daripada 13 lelaki, 16 wanita dan seorang kanak-kanak dalam perjalanan dari Larkin, Johor ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Daripada jumlah itu, empat wanita mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan awal oleh Pasukan Kecemasan Operasi (PKO) sebelum ketibaan ambulans di lokasi kejadian.

“Penumpang lain tidak mengalami kecederaan dan berjaya keluar sendiri dari bas sebelum ketibaan pasukan penyelamat. Pemandu bas dan lori treler juga dilaporkan selamat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi menyelamat yang membabitkan 16 anggota dari BBP Rembau, Kota dan Senawang tamat pada 4.05 pagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan