Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Reformasi NAFAS Fokus Kukuh Tadbir Urus, Lonjak Daya Saing Peladang

09/07/2025 01:54 PM

Oleh Siti Maisarah Abdul Ghani

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Pelan reformasi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang sedang digerakkan ketika ini memberi tumpuan kepada pemantapan tadbir urus dan usaha memperkukuh daya saing peladang bagi menghadapi cabaran masa depan sektor pertanian negara.

Ahli Majlis Penasihat NAFAS (COA) Datuk Hadzir Md Zain berkata langkah itu penting untuk memastikan NAFAS kekal relevan serta bergerak seiring dengan dasar kerajaan dalam memperkukuh keselamatan makanan negara.

“Reformasi ini seperti penyelenggaraan mesin, yang perlu dijaga agar terus berfungsi. Begitu juga NAFAS, ia perlu disusun semula supaya kekal cekap, efektif dan memberi manfaat kepada peladang.

“Kita tidak boleh terus bergantung kepada subsidi kerajaan. Peladang perlu dididik ke arah pengurusan lebih profesional dan mampu bersaing dalam industri yang semakin mencabar,” katanya dalam temu bual bersama media di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini hari ini.

Sebelum ini, perlembagaan NAFAS digantung berkuat kuasa 1 November 2024 susulan semakan dan siasatan terhadap tatakelola serta tadbir urus pertubuhan itu yang masih berjalan.

Sepanjang tempoh penggantungan, pentadbiran NAFAS dikendalikan oleh pentadbir yang dilantik Pendaftar Pertubuhan Peladang, manakala Majlis Penasihat NAFAS berperanan menasihati pendaftar berhubung isu pentadbiran harian.

Mengulas lanjut, Hadzir berkata penggantungan sementara ahli jemaah pengarah NAFAS adalah langkah pemulihan bagi membaiki kelemahan dalaman termasuk isu ketidakpatuhan dalam pengurusan, yang boleh menjejaskan peladang serta mengakibatkan ketirisan jika dibiarkan.

Beliau berkata NAFAS memiliki kekuatan dari segi logistik, kilang baja berkapasiti 300,000 metrik tan setahun serta jaringan operasi hingga ke peringkat akar umbi yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya.

“Potensi pertubuhan peladang luas, bukan hanya tertumpu kepada tanaman padi. Kita juga boleh teroka bidang lain seperti penternakan kambing, lembu, ikan air tawar dan tanaman sayuran,” katanya.

Hadzir berkata kelebihan itu wajar digunakan untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan, termasuk kelapa yang sepatutnya boleh diusahakan dalam negara.

“Kita perlu keluar daripada zon selesa dan membuka minda bahawa pertanian bukan hanya soal padi semata-mata. Banyak lagi produk boleh diusahakan dalam negara yang memberi pulangan lumayan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan pentingnya penglibatan belia dan wanita dalam sektor pertanian melalui program latihan serta pembangunan kemahiran agar industri tidak terus bergantung kepada golongan berusia.

“Kita lihat ramai ahli peladang kini berusia. Jadi, tenaga muda sangat diperlukan bagi kesinambungan. Kita akan perbanyakkan latihan untuk tarik minat anak muda,” katanya.

Hadzir menegaskan dengan pengalaman lebih 50 tahun dalam industri, sudah tiba masanya NAFAS bergerak sebagai entiti berdikari dan cekap bagi memastikan semua aset dan peluang perniagaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli.

Beliau turut menyeru semua ahli peladang agar bersatu menyokong usaha reformasi demi memperkukuh struktur organisasi dan menjadikan pertanian sebagai sektor yang mampan, berdaya saing dan menguntungkan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan