KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai saksi untuk memberi keterangan berhubung isu penjualan saham dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) esok.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan hari ini berkata ia bagi meneruskan prosiding berhubung pengurusan lapangan terbang awam di bawah Kementerian Kewangan, MAHB, Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau berkata sepanjang minggu ini, PAC telah mengadakan enam prosiding berhubung isu berkenaan melibatkan enam saksi, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) Lee Jim Leng dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Datuk Nik Amlizan Mahamed.
Tiga lagi saksi, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datuk Abdul Rahman Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed serta Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Zain Azhari Mazlan yang mewakili Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi.
“Sehubungan itu, kini PAC telah mengadakan 14 mesyuarat prosiding berhubung isu pengurusan lapangan terbang awam ini. PAC akan hanya membentangkan penyata setelah mengambil keterangan daripada semua pihak yang berkepentingan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial