SIBU, 9 Julai (Bernama) -- Kalendar Perayaan Etnik Minoriti akan diterbitkan buat julung kalinya tahun depan sebagai usaha memperkukuh kefahaman dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata kalendar itu akan menghimpunkan maklumat komprehensif berkenaan tarikh, latar belakang serta penerangan pelbagai perayaan dan upacara tradisional etnik minoriti di seluruh negara.
“Kalendar ini bukan sekadar senarai tarikh perayaan, sebaliknya berperanan sebagai medium pendidikan budaya untuk memupuk semangat saling menghormati dan menghargai kepelbagaian etnik yang menjadi asas kekuatan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Kebudayaan Dayak Borneo 2025 di Dataran Tun Tuanku Bujang, di sini malam ini.
Aaron berkata kalendar berkenaan akan diedarkan secara fizikal dan digital kepada semua kementerian, agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pihak berkepentingan.
“Dengan adanya kalendar ini, masyarakat akan lebih peka terhadap perayaan seperti Hari Irau Aco (Lun Bawang), Pesta Songkran (Siam), Pesta Kalimaran (Murut), Pesta Lepa-Lepa (Bajau), Pesta Magahau (Rungus) dan Pesta Mipis (Dusun Lotud).
“Kita akan lebih memahami sensitiviti budaya dan yang lebih penting, kita akan lebih menghormati satu sama lain sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata perpaduan nasional tidak akan dapat dicapai tanpa kefahaman dan penghormatan terhadap budaya orang lain.
“Hanya melalui pemahaman dan penerimaan terhadap perbezaan budaya, semangat harmoni dalam kepelbagaian dapat disemai dalam kehidupan seharian,” katanya.
Mengulas mengenai BDCF, Aaron berkata festival yang kini memasuki edisi ke-21 merupakan manifestasi kekuatan budaya pelbagai kaum di Sarawak termasuk Dayak, Melayu, Melanau dan Cina yang hidup secara harmoni.
“Festival ini cukup unik dan istimewa kerana ia menyerlahkan kesatuan dalam kepelbagaian budaya menerusi persembahan seni, makanan tradisional dan warisan etnik,” katanya.
Edisi kali ini yang mengangkat tema “Irama Borneo 2025” turut memperkenalkan maskot rasmi baharu iaitu Engkuli, nama tempatan bagi harimau dahan atau Neofelis diardi, haiwan ikonik Borneo yang melambangkan pemeliharaan biodiversiti dan kekayaan alam semula jadi.
Aaron berkata Sarawak yang dihuni lebih 30 kumpulan etnik dan lebih 40 dialek merupakan contoh terbaik bagaimana kepelbagaian budaya boleh dijadikan asas perpaduan dan kekuatan sosial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial