Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Musim Durian Kembali Meriah, Peniaga Kreatif Tarik Pelanggan

11/07/2025 06:36 PM

SEREMBAN, 11 Julai (Bernama) -- Musim buah, khususnya durian kini kembali mewarnai gerai dan pasar tani di sini, dengan para peniaga berlumba-lumba menawarkan pelbagai jenis durian segar pada harga istimewa serta berpatutan.

Saingan sesama peniaga durian itu membuatkan masing-masing tampil dengan strategi jualan yang kreatif, termasuk menawarkan pelbagai pakej makan durian demi memenangi hati pelanggan sekali gus memastikan peniagaan laris.

Peniaga gerai 'DJ Durian' di Taman Ampangan di sini, Riezlan Rizal , 26, berkata dia menawarkan dua pakej menarik bagi pengemar durian iaitu bufet RM30 seorang dan set talam berharga RM100-RM200 yang mengandungi 10 kilogram durian pelbagai jenis termasuk durian kahwin, D24 dan udang merah.

"Pakej set talam ini juga ada durian Musang King tetapi bergantung pada bekalan. Saya sudah lima tahun berniaga durian dan setakat ini pakej bufet paling mendapat sambutan sebab murah serta berbaloi. 

"Pelanggan di gerai ini datang dari merata tempat termasuk paling jauh dari Johor. Kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran bagi mereka yang menempah secara dalam talian," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Riezlan berkata jualan durian di gerainya boleh mencecah hingga RM20,000 sehari terutamanya pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Peniaga buah di Rasah, Leon Tan, 52, pula berkata dia menjual durian kampung pada harga RM8 sekilo selain turut menawarkan harga RM10 sebakul bagi durian campur.

Leon yang telah berniaga hampir enam tahun, berkata permintaan terhadap ‘raja buah’ itu melonjak pada musim buah yang biasanya bermula dari Jun hingga September, bergantung kepada keadaan cuaca.

"Sekarang musim buah tempatan jadi kita akan berhenti dulu tempah buah import dan fokus kepada penjualan buah tempatan seperti durian dan manggis yang sekarang ini menerima banyak permintaan.

"Kita dapat lihat hampir semua peniaga akan jual dengan harga murah dan pembeli juga sudah tentu banyak pilihan dan lebih jimat," katanya yang turut menjual manggis, nanas, dan pisang.

Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap buah-buahan tempatan juga dilihat dapat merancakkan perniagaan di gerai buah sekali gus meningkatkan pendapatan menerusi sambutan mengalakkan daripada pembeli.

Seorang lagi peniaga, Lim Siew, 48, berkata jualan di kedainya tidak terjejas dan harga buah masih kekal meskipun dengan pelaksanaan SST, malah musim buah seperti sekarang menjadi tumpuan pelanggan untuk mendapatkan harga lebih murah.

“Harga buah tempatan dan import di kedai saya sekarang ini masih sama tiada yang berubah. Sekarang musim buah jadi banyak buah tempatan dijual pada harga yang lebih murah berbanding biasa,” katanya yang telah berniaga hampir 10 tahun.

Seorang pelanggan, Masita Baba,64, pula berkata setiap minggu dia akan membeli buah-buahan sebagai bekalan untuk dinikmati bersama keluarga antaranya pisang, oren, buah naga dan epal.

"Sejak pelaksanaan SST,  tiada sebarang kenaikan ketara dialami. Harga buah masih sama dan berpatutan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan