Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tiga Ladang Babi Di Tasek Gelugor Dijangkiti ASF, 50 Ekor Mati

12/07/2025 08:46 PM

TASEK GELUGOR, 12 Julai (Bernama) -- Tiga ladang ternakan babi di Kampung Selamat di sini disahkan positif penyakit Demam Babi Afrika (ASF) berdasarkan keputusan ujian makmal oleh Makmal Veterinar Zon Utara.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata dua ladang menunjukkan kadar kematian ternakan yang tinggi dan menimbulkan kebimbangan terhadap potensi penularan penyakit tersebut ke ladang lain di kawasan berdekatan.

"Pasukan kami telah turun ke ladang babi di kawasan Kampung Selamat sejak semalam bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan kawalan serta pemantauan rapi oleh JPVPP bagi memastikan penularan ASF dapat dibendung dengan segera dan berkesan.

"Setakat ini, dua ladang yang mencatat kematian dalam 50 ekor dan banyak yang menunjukkan simptom ASF. Terdapat 63 ladang babi melibatkan 120,000 ekor di kawasan Kampung Selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai langkah kawalan penyakit, beliau berkata JPVPP telah mengeluarkan Notis Sekatan dan Larangan Pemindahan Binatang di bawah Seksyen 18, Akta Binatang 1953 (Akta 647) kepada ladang-ladang yang disahkan dijangkiti dan arahan sekatan pemindahan babi mengikut rumah sembelih yang ditetapkan, bagi mengelakkan risiko penyebaran penyakit ke kawasan atau daerah lain.

Dr. Saira Banu berkata pihaknya turut menjalankan pensampelan ke atas babi yang menunjukkan tanda-tanda klinikal di ladang sekitar untuk pengesanan awal, meningkatkan pemantauan biosekuriti dan meminta penternak supaya melaporkan segera sebarang kematian luar biasa ternakan. 

Beliau berkata penyakit ASF tidak berjangkit kepada manusia namun memberi kesan besar terhadap industri penternakan babi terutamanya dari segi sekatan pergerakan haiwan dan kerugian ekonomi kepada penternak.

"JPVPP menasihati semua penternak babi agar meningkatkan langkah-langkah biosekuriti di ladang masing-masing, mengelakkan kemasukan orang luar atau kenderaan yang tidak disanitasi ke dalam ladang.

"Selain itu, melaporkan segera kepada JPVPP jika terdapat kematian mendadak atau tanda-tanda penyakit dalam kalangan babi," katanya.

Beliau berkata sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Seberang Perai Utara atau terus ke JPVPP.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan