KOTA TINGGI, 13 Julai (Bernama) -- Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 bukanlah undang-undang yang mengikat dalam pelantikan hakim sebaliknya berperanan untuk menapis, menilai dan mencadangkan calon kepada Perdana Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi tetap tertakluk kepada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
“Akta JAC lebih kepada menapis, menilai dan mengatur (cadang) nama-nama calon, tetapi ia bukan akta pemuktamad (finalisation). Cadangan itu tidak mengikat.
“Nama-nama yang disaring JAC tetap perlu melalui prosedur di bawah Perkara 122B. Kalau mahu proses JAC itu mengikat, maka Perlembagaan perlu dipinda,” katanya kepada pemberita sebelum merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang di sini, hari ini.
Azalina turut merujuk penjelasan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menerusi hansard di Dewan Rakyat yang menjelaskan bahawa Akta JAC adalah satu peruntukan pentadbiran dan tidak mempunyai kuasa mengikat.
Mengenai perarakan Badan Peguam Malaysia esok, Azalina menyifatkannya sebagai hak demokrasi selagi ia dilakukan secara profesional dan mengikut lunas undang-undang.
“Kalau hendak berarak, itu hak mereka. Tapi saya pasti, selaku peguam, kebanyakannya profesional. Mereka tahu tentang Perkara 122B dan Akta JAC 2009,” katanya.
Sementara itu, Azalina berkata pelantikan pengganti jawatan tertinggi kehakiman hanya akan diputuskan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 pada 15 hingga 17 Julai ini.
Semalam, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menggesa pelantikan pengganti bagi jawatan tertinggi badan kehakiman negara disegerakan susulan beberapa hakim kanan telah dan bakal bersara dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial