PUTRAJAYA, 14 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan berlaku kejadian pukul dan kecederaan yang dialami oleh seorang klien ketika menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Pahang pada tahun lepas.
Menurut kenyataan EAIC hari ini, pihaknya menerima aduan terhadap pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berhubung kejadian itu dan siasatan dijalankan berdasarkan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
“Siasatan mendapati wujud keterangan dan bukti yang menjurus kepada kejadian pukul itu berlaku sehingga menyebabkan kecederaan ke atas klien yang sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat berkenaan.
“Wujud kemungkinan unsur penyembunyian oleh pihak PUSPEN terhadap kejadian itu kerana pemakluman berkenaan dengan kecederaan oleh klien dibuat dalam tempoh masa yang tidak munasabah kepada pihak Ibu Pejabat AADK,” menurut EAIC.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan melibatkan wujud keterangan dan bukti itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selaras dengan peruntukan perenggan 30(1)(c) Akta 700 dengan cadangan untuk siasatan jenayah menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (Akta 574) atau mana-mana seksyen berkaitan dibuat ke atas suspek yang terlibat.
EAIC juga akan merujuk hasil siasatan mengenai unsur penyembunyian oleh PUSPEN untuk syor hukuman tatatertib terhadap pegawai terbabit di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, susulan kesalahan ingkar perintah sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i) peraturan yang sama.
“Selain itu EAIC mengesyorkan pemasangan kamera litar tertutup dibuat di dalam kawasan PUSPEN bagi memastikan keselamatan klien yang menjalani pemulihan,” menurut EAIC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial