Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek Blok Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah Bakal Siap Feb 2026

14/07/2025 08:35 PM

KUALA PILAH, 14 Julai (Bernama) -- Projek pembinaan blok tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini yang dikategorikan sebagai projek sakit kini menunjukkan kemajuan memberangsangkan dan dijangka siap sepenuhnya pada Feb 2026.

Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen Datuk Adnan Abu Hassan berkata projek berkenaan bermula pada 2021 dan dijadualkan siap pada Ogos 2024 telah mengalami sedikit kelewatan susulan kekangan tenaga kerja semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata kos asal projek berkeluasan 1.7 hektar itu berjumlah RM139.35 juta tetapi kini mencecah kira-kira RM153 juta mengikut kontrak semasa dan telah mencapai kemajuan kerja 93.93 peratus.

“Hasil lawatan pertama diadakan pada awal tahun lepas, kontraktor mengakui projek ini lewat lebih 90 hari dan diklasifikasikan sebagai projek sakit dengan punca utama disebabkan PKP yang menyaksikan ramai pekerja balik ke negara asal serta sukar masuk ke negara ini untuk kembali berkerja.

“Projek sekarang mengikut jadual ditetapkan, kelewatan juga disebabkan keperluan penambahan wad kes penyakit berjangkit yang perlu dibangunkan di hospital ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat HTAN di sini hari ini.

Adnan merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata projek berkenaan melibatkan tambahan 144 katil yang menjadikan kapasiti keseluruhan HTAN meningkat kepada 458 katil.

Sementara itu, Adnan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dimohon agar membuat pengisian jawatan bagi petugas kesihatan di hospital berkenaan lebih awal bagi memastikan kelancaran operasi serta penyampaian perkhidmatan kesihatan yang efisien sebaik bangunan baharu hospital itu mula beroperasi.

Komponen bagi projek ini melibatkan pembinaan blok bangunan utama enam tingkat yang merangkumi pelbagai jabatan dan kemudahan bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf tinggi kepada rakyat khususnya di daerah ini.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan