Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Yayasan LTAT Perkenal Lima Inisiatif Pendidikan Bantu Anak-Anak Warga ATM

15/07/2025 01:37 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini melancarkan lima program inisiatif pendidikan bagi tahun 2025, bagi memperkasakan aspek pendidikan, kemahiran dan kebajikan anak-anak serta keluarga warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata inisiatif itu, diperkenalkan bagi menjaga kesejahteraan warga ATM bukan sahaja dari segi aset, tetapi juga dengan menumpukan kepada pendidikan dan kemahiran anak-anak serta keluarga mereka.

“Inisiatif pertama ialah Program e-Perkasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, hasil kerjasama antara Yayasan LTAT bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), melibatkan seramai 652 pelajar dalam kalangan anak-anak ATM yang bersekolah di luar kem.

“Melalui program ini, setiap pelajar yang terpilih telah dibekalkan dengan peranti secara percuma hasil tajaan BHIC AeroServices Sdn Bhd (BHICAS) dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), serta Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) selaku penaja keseluruhan program,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2025 di Hotel Royale Chulan, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata inisiatif kedua ialah Program Sentuhan Elit SPM yang melibatkan seramai 658 pelajar terpilih daripada enam buah Sekolah Dalam Kem (SDK).

“Mereka akan mengikuti program seperti tuisyen insentif SPM, bengkel teknik menjawab soalan, serta program kerjaya dan hala tuju selepas SPM,” katanya.

Beliau berkata inisiatif ketiga ialah Program Kemahiran Keluarga Tentera (K2T) yang memperluaskan peluang pendidikan dan kemahiran peringkat tertiari bagi warga ATM, termasuk ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan anak-anak mereka.

“Mereka berpeluang mengikuti 22 bidang kursus jangka pendek seperti masakan dan solekan.

“Mereka yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian MARA dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta setaraf, akan menerima tajaan yuran tidak melebihi RM3,000 seorang.

“Ini hasil kerjasama Yayasan LTAT dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan suntikan dana daripada Pharmaniaga Berhad selaku penaja utama,” katanya.

Mohamed Khaled berkata inisiatif keempat ialah Program Simpanan Pendidikan MADANI yang dilaksanakan hasil kerjasama antara Yayasan LTAT dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Melalui program ini, 3,775 pelajar Tahun 1 dalam kalangan anak-anak anggota tentera yang masih berkhidmat, telah menerima sumbangan RM50 secara sekali beri dalam bentuk akaun Simpanan SSPN Prime dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM188,750,” katanya.

Beliau berkata inisiatif kelima ialah Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang merupakan hasil kerjasama strategik antara Yayasan LTAT bersama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“TalentCorp berperanan untuk membangunkan kesedaran awal tentang kepentingan STEM dan bimbingan kerjaya, manakala USM memainkan peranan dalam pembangunan modul pembelajaran STEM serta berfungsi sebagai penyelaras bersama universiti awam di seluruh negara, untuk melaksanakan program ini di sekolah dalam kem (SDK),” katanya.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut menyaksikan pemberian sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM3.2 juta daripada Affin Bank Berhad, BHPetrol dan Kemalak Group Sdn Bhd bagi memperkasakan masa depan generasi pertahanan.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Pengerusi LTAT Jen (B) Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan serta Ketua Eksekutif Yayasan LTAT Datuk Dr Mohd Nizar Sudin.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan