Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

84 Warga Bernama Dirai Atas Sumbangan Dan Khidmat Bakti

15/07/2025 07:53 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Sebanyak 84 petugas dan pesara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dirai dalam Majlis Apresiasi Bernama sebagai penghargaan atas sumbangan dan khidmat bakti mereka kepada organisasi sepanjang tempoh perkhidmatan.

Pada majlis yang berlangsung di Wisma Bernama itu, sebanyak 62 petugas yang telah berkhidmat antara 15 hingga hampir 40 tahun menerima Anugerah Khidmat Lama.

Sebanyak 21 pesara Bernama dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Nasriah Darus yang akan bersara pada 21 Julai ini, turut diraikan pada majlis itu.

Kesemua yang diraikan menerima sijil disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Terdahulu, dalam ucapannya Nur-ul Afida berkata kesetiaan dan dedikasi petugas Bernama terutama yang telah bersara perlu dijadikan inspirasi oleh petugas lain.

“Semoga anda terus berkhidmat dengan lebih cemerlang dan mencapai tahap yang kita mahukan iaitu meninggalkan kesan yang mendalam, bukan sahaja kepada organisasi tetapi pastinya kepada rakan setugas dan generasi pewaris Bernama pada masa akan datang. 

“Kepada semua yang telah bersara dan bakal bersara, saya ucapkan selamat bersara dan semoga anda semua dikurniakan kesihatan, kebahagiaan serta kejayaan dalam fasa kehidupan yang seterusnya bersama keluarga tercinta,” katanya.

Beliau berkata dalam landskap media yang kian mencabar, petugas Bernama perlu berpegang teguh kepada integriti dan membuktikan agensi berita itu kekal signifikan, relevan dan berdaya saing dalam menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, kehendak pelanggan dan pasaran.

Nur-ul Afida berkata hal ini penting kerana Bernama telah diberi kepercayaan dan amanah antaranya selaku Media Rasmi dan Penyelaras Pusat Media Antarabangsa (IMC) bagi beberapa mesyuarat berkaitan sepanjang tempoh penganjuran ASEAN 2025.

“Antara peranan utama Bernama ialah bertindak sebagai hab media serantau yang menyediakan kemudahan liputan serta menguruskan pendaftaran media semasa acara rasmi ASEAN 2025.

“Peranan ini membawa tanggungjawab strategik yang merangkumi penyediaan kemudahan liputan media, urusan pendaftaran wartawan dalam dan luar negara, serta menjadi pusat agihan maklumat rasmi sepanjang acara-acara penting ASEAN 2025,” katanya. 

Selain itu, Nur-ul Afida berkata Bernama juga berperanan menyampaikan naratif ASEAN kepada dunia melalui liputan yang menyokong dasar serantau dan memperkukuh hubungan antara negara anggota.

Bernama juga, katanya berperanan menyalurkan pelbagai bahan rasmi seperti ucapan pemimpin, siaran langsung, rakaman video, maklumat terkini dan foto kepada ratusan media di seluruh dunia.

“Untuk itu, Bernama akan terus memperkasakan pembangunan modal insan dan mengadaptasi budaya kerja baharu yang lebih kreatif, inovatif serta dinamik.

“Selaras dengan era transformasi digital masa kini, kita turut mengambil langkah proaktif dalam penerapan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) demi meningkatkan kecekapan, produktiviti serta nilai perkhidmatan yang ditawarkan oleh warga kerja kita ke tahap optimum,” katanya.

Pada majlis itu, petugas Bernama yang terlibat dengan penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 dan muncul pemenang Anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2024 turut menerima sijil dan surat penghargaan.

Selain itu, Bernama juga menyampaikan manfaat persaraan kepada waris Allahyarham Shahfiee Abu Bakar, pembantu kemahiran agensi berita itu yang meninggal dunia akibat kencing manis pada 1 Julai lepas.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan