Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bernama Terima Anugerah Media MDA, Tingkat Kesedaran Peranti Perubatan

13/04/2026 01:52 PM

PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menerima Anugerah Media Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) 2025 bagi kategori akhbar dan portal berita.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Azah Hanim Ahmad kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MDA 2025.

Turut hadir Ketua Eksekutif MDA Dr Muralitharan Paramasua.

Ad Banner

Anugerah berkenaan bagi mengiktiraf komitmen agensi berita itu dalam menyampaikan liputan berkualiti dan berterusan mengenai aktiviti serta inisiatif MDA sepanjang tahun lepas.

Ketika ditemui, Nur-ul Afida berkata pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen Bernama dalam menyokong usaha MDA mengangkat dan memartabatkan bidang perubatan melalui penyampaian maklumat yang tepat dan berkesan kepada masyarakat.

Beliau berkata sokongan Bernama terhadap MDA dizahirkan melalui liputan berita yang konsisten mengenai peranannya dalam mengawal selia produk perubatan yang perlu didaftarkan secara rasmi sebelum dipasarkan kepada pengguna.

"Selain itu, kita juga membuat liputan tentang usaha MDA dari sudut mengangkat produk yang boleh digunakan dalam industri perubatan tempatan," katanya.

Nur-ul Afida berkata pencapaian menerima anugerah daripada MDA secara berterusan sejak 2023 merupakan sesuatu yang membanggakan dan mencerminkan dedikasi tinggi warga Jabatan Pengarang dalam menghasilkan liputan berkualiti.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan editorial Bernama atas komitmen mereka dalam memastikan maklumat berkaitan keselamatan peranti perubatan disampaikan secara berkesan kepada orang ramai.

Sementara itu, Editor Meja Berita Am Suriati Sidek Ahmad menyifatkan anugerah itu sebagai satu penghargaan bermakna yang menyuntik semangat baharu kepada warga pengarang untuk terus menghasilkan laporan yang meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penggunaan peranti perubatan yang sah dan berdaftar.

"Anugerah ini menyuntik semangat untuk kami menghasilkan lagi banyak berita yang dapat mencetuskan kesedaran orang ramai, terutama golongan muda mengenai pentingnya peranti kesihatan yang sah dan berdaftar," katanya.

Wartawan Meja Rencana dan Isu Semasa Muhammad Basir Roslan yang aktif menghasilkan berita berkaitan MDA pula berkata peranan media amat penting dalam meningkatkan tahap kesedaran awam terhadap kepentingan menggunakan peranti perubatan yang berdaftar dan selamat.

"Di Bernama, insya-Allah kita akan terus menghasilkan lebih banyak berita, termasuk liputan melalui meja rencana dan isu semasa berkaitan isu peranti perubatan," katanya.

Sementara itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerima anugerah bagi kategori televisyen manakala kategori radio diterima BFM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan