Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia-New Zealand Perkukuh Kerjasama Pendidikan Tinggi

17/07/2025 01:55 AM

Oleh Ahmad Erwan Othman

WELLINGTON, 16 Julai (Bernama) -- Malaysia memperkukuh hubungan akademik dengan New Zealand menerusi kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi tempatan dan universiti ternama negara itu, khususnya dalam bidang teknologi hijau dan tenaga boleh baharu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) masing-masing telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Universiti Canterbury serta enam universiti lain di New Zealand.

“Ini termasuk pelaksanaan program berkembar, pemindahan kredit dan penyelidikan bersama, yang akan memberi nilai tambah kepada pelajar dan pensyarah Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Forum Halal dan Minum Teh Bersama Menteri Biosekuriti dan Keselamatan Makanan New Zealand Andrew Hoggard, di sini hari ini.

Beliau berkata penglibatan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Petronas, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan dipertingkatkan dalam bidang pengkhususan yang tidak ditawarkan di institusi tempatan, khususnya dalam bidang tenaga lestari.

“Ini adalah komitmen kita dan kerana kita telah menentukan pengurangan penghantaran pelajar ke Amerika Syarikat (AS) susulan arahan baharu daripada pentadbiran di AS,” katanya.

Sementara itu, kerjasama UniKL bersama University of Canterbury (UC) dimeterai menerusi pertukaran Surat Hasrat (LoI) yang menumpukan bidang kejuruteraan kimia dan proses, teknologi makanan halal serta pembangunan lestari. 

Majlis berkenaan berlangsung di Perpustakaan Negara Wellington serta disaksikan Ahmad Zahid dan Hoggard.

Ketua Pegawai Eksekutif UniKL Prof Dr Azman Senin dan Pengarah Perhubungan Global UC Dr Graham Wise telah menandatangani dokumen LoI yang turut memperincikan usaha membangunkan program pertukaran pelajar dan petugas, penyelidikan bersama serta laluan Artikulasi Pendidikan melalui program kerjasama berpandukan model 2+2 dan 2.5+3 bagi memperluas mobiliti dan kebolehpasaran graduan.

"Kerjasama ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB, khususnya dalam menangani isu kebuluran dan pembangunan pengeluaran makanan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman strategik antara UPTM dan Victoria University of Wellington (VUW), mencakupi pelaksanaan penyelidikan bersama, mobiliti akademik serta pertukaran kurikulum dan kaedah pengajaran inovatif yang akan memperkukuh kedudukan universiti itu di peringkat global di samping membuka peluang pembelajaran rentas budaya.

UPTM turut mengadakan rundingan dengan lima universiti terkemuka di New Zealand iaitu University of Auckland, Massey University, Auckland University of Technology, University of Otago dan University of Canterbury, bagi meneroka potensi program perintis dan pembiayaan pendidikan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan