Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

30 Peratus Peserta PLKN Tidak Hadir, Masalah Kesihatan Antara Alasan Utama

17/07/2025 02:55 PM

KOTA TINGGI, 17 Julai (Bernama) -- Kira-kira 30 peratus peserta daripada dua siri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dilaporkan gagal menghadiri latihan atas pelbagai alasan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata antara alasan utama yang diberikan adalah masalah kesihatan dan melanjutkan pengajian ke universiti.

“Setakat ini, bagi setiap siri sebelum ini untuk PLKN 3.0 kita dapati sekitar 10 hingga 15 peratus peserta tidak hadir. Kebanyakannya ada alasan tersendiri seperti sakit atau baru dapat tawaran universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Kembara Lestari Kota Tinggi bersama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Felda Lok Heng Barat di sini hari ini. 

Mohamed Khaled berkata PLKN 3.0 masih berada dalam fasa percubaan dan pelaksanaan sepenuhnya hanya akan bermula tahun hadapan.

Program yang mengekalkan tempoh latihan selama 45 hari itu juga menerima maklum balas positif daripada peserta, khususnya terhadap elemen latihan ketenteraan yang disifatkan memberi impak besar dalam membina disiplin dan jati diri.

“Peserta daripada dua siri terdahulu memberikan maklum balas yang baik dan meminta supaya pengisian latihan ketenteraan dipertingkatkan,” katanya.

 PLKN 3.0 Siri 1/2025 diadakan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur selama 45 hari bermula 12 Jan hingga 25 Feb.

Siri 2/2025 pula bermula pada 11 Mei hingga 24 Jun lepas manakala Siri 3 akan dilaksanakan pada 7 Sept hingga 21 Okt 2025 iaitu di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan