KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Permohonan maaf secara terbuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada keluarga Teoh Beng Hock mencerminkan keikhlasan Kerajaan MADANI, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini hari ini berkata tindakan berkenaan turut memperlihatkan keadilan peralihan apabila institusi kerajaan mengakui dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku pada masa lepas.
Beliau berkata SPRM turut menawarkan sumbangan ihsan kepada keluarga Teoh bertujuan menjaga kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak lelaki mendiang, yang kini berusia 15 tahun.
“Kerajaan sedia memberikan kepercayaan penuh kepada Soh Cher Wei, balu Teoh, untuk menguruskan sumbangan itu. Demi menjamin masa depan anak mereka, kami berharap keluarga Teoh dapat menerima sumbangan ini dengan hati terbuka.
“Yang penting, sokongan ini diberikan tanpa sebarang syarat. Keluarga Teoh kekal bebas untuk bersuara, termasuk terus menuntut keadilan untuk Teoh Beng Hock melalui apa jua bentuk advokasi awam,” katanya.
Beliau berkata sumbangan terbabit bukan bermaksud menandakan penamat atau mengharapkan keluarga mendiang berpuas hati, sebaliknya ia adalah bantuan kerajaan kepada anak lelaki Teoh, susulan kenyataan terkini daripada ahli keluarga itu yang menolak tawaran daripada kerajaan.
Pada sidang media itu, Loke sekali lagi mengulangi komitmen DAP untuk terus menyokong keluarga Teoh melalui saluran undang-undang, sambil menambah parti itu akan kekal berusaha menuntut keadilan sekiranya timbul bukti baharu.
DAP Selangor juga, katanya akan menganjurkan satu majlis pada 27 Julai ini bagi memperingati Teoh.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan menzahirkan simpati dan memohon maaf kepada keluarga Teoh.
Azam berkata dengan mengambil iktibar tragedi kematian Teoh pada 16 tahun lepas, SPRM komited untuk memperbaiki kelemahan lalu dan berusaha membina semula kepercayaan rakyat.
Teoh, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemukan maut pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14 premis berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial