Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bernama Sertai Sambutan Minggu Perpaduan, Perkukuh Usaha Sebar Maklumat Sahih

18/07/2025 12:26 AM

BATU KAWAN, 17 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyertai reruai Kementerian Komunikasi sempena Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan bermula hari ini untuk memperkenalkan peranannya sebagai agensi berita nasional di samping memperkukuh penyebaran maklumat sahih kepada masyarakat pelbagai kaum.

Pengurus Hal Ehwal Korporat Bernama Zarina Rozali berkata selain mempromosikan aplikasi Bernama kepada pengunjung, pasukannya turut memperkenalkan media sosial agensi itu yang merupakan sumber berita sahih dan pantas.

Beliau berkata pihaknya memberikan penerangan dan menjawab sebarang pertanyaan pengunjung tentang produk-produk Bernama agar mereka memahami dan mendapat gambaran yang jelas.

"Aktiviti di reruai Kementerian Komunikasi pada program ini melibatkan pendekatan yang lebih santai dan interaktif seperti kuiz dan trivia.

"Kita juga mengajak pengunjung follow dan like media sosial serta aplikasi Bernama supaya mereka mendapat berita yang sahih dan tepat," katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini hari ini.

Zarina berkata penyertaan itu selari dengan usaha kerajaan memperkukuh perpaduan nasional melalui penyampaian maklumat yang tepat dan inklusif.

"Sebagai agensi berita nasional, Bernama memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang serta melalui SMP ini, kami dapat berkongsi lebih lagi dengan rakyat," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung Nur Aqilah Ishak, 35, yang merupakan peniaga dalam talian berkata beliau dapat mengetahui lebih banyak maklumat mengenai Bernama selepas singgah di reruai Kementerian Komunikasi hari ini .

"Selain maklumat daripada Bernama dan agensi kerajaan yang ada di SMP ini, saya dan anak-anak turut tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Rumah Kami (rumah etnik) kerana boleh melihat sendiri pelbagai kaum dan budaya yang dibawakan terus ke sini, lagipun saya tidak pernah ke Sabah dan Sarawak, ini sangat mengujakan," katanya.

Sebanyak 35 aktiviti menarik menanti pengunjung sempena SMP Peringkat Kebangsaan 2025 bermula hari ini hingga 20 Julai dengan majlis perasmian sambutan berkenaan akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10.30 pagi, Sabtu.

Kementerian Perpaduan Negara sebelum ini memaklumkan antara pengisian menarik termasuk pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Pameran Malaysia Tanah Airku, pameran Susur Masa oleh Jabatan Muzium Malaysia serta Pavilion Perpustakaan Malaysia.

Dengan tema "Harmoni Dalam Kepelbagaian", sambutan itu menjadi platform utama dalam memperkukuh perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan latar belakang menerusi penglibatan secara langsung masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang bersifat inklusif.

Objektif utama penganjuran ini adalah untuk merapatkan jurang perbezaan serta memupuk semangat kebersamaan dan saling menghormati yang menjadi asas kekuatan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan