KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan tiga ketakteraturan serius membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM460 juta.
Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata terdapat kelemahan tatakelola terhadap perolehan pajakan empat ladang sawit oleh FELCRA Berhad melibatkan nilai RM241.76 juta antara 2022 hingga 2024.
Beliau berkata Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berdepan isu ketakteraturan serius serta kelemahan dalam proses perolehan membabitkan tiga tender bernilai RM58.45 juta.
“Denda kelewatan belum dikutip berjumlah RM162.75 juta bagi kontrak pembekalan GEMPITA, denda kelewatan belum dikenakan berjumlah RM1.42 juta bagi kontrak perkhidmatan senggaraan, pembaikan dan pembekalan alat ganti serta perolehan berjumlah RM107.54 juta yang dilaksanakan secara pecah kecil," katanya.
Laporan tersebut, katanya turut mengenal pasti kelemahan pelaksanaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan program minyak masak bersubsidi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), khususnya kegagalan menyasarkan golongan penerima dan pelaksanaan kuota yang tidak efisien.
“Usaha KPDN untuk mengurangkan kuota bekalan minyak masak bersubsidi sejak 2016 wajar diteruskan. Tindakan tersebut dapat memberikan impak positif dalam usaha membanteras ketirisan melalui pengedaran yang lebih bersasar selaras dengan syor Audit,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Kaedah Perolehan Pre-Q Terpilih yang diperkenalkan Kementerian Kewangan turut didapati mempunyai ruang manipulasi apabila syarikat tidak layak tetap dipilih ke peringkat akhir.
“Syor Audit supaya kaedah Perolehan Pre-Q Terpilih tidak wajar diteruskan dan kaedah perolehan tender terbuka adalah lebih sesuai dilaksanakan bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam proses perolehan,” katanya.
Sebanyak lima pengauditan melibatkan tujuh kementerian dilaksanakan dengan nilai keseluruhan program, aktiviti dan projek berjumlah RM48.873 bilion, serta 22 syor audit dikemukakan kepada kementerian, jabatan dan syarikat yang terlibat.
Wan Suraya turut memaklumkan, susulan audit oleh Jabatan Audit Negara (JAN) bagi tempoh 2024 hingga Jun 2025 telah membantu kerajaan mendapatkan bayaran balik berjumlah RM157.73 juta, termasuk melalui kutipan penalti, cukai dan denda.
LKAN 2/2025 dimuat naik dalam Sistem Papan Pemuka Ketua Audit Negara (AGD) selaras pindaan Akta Audit 1957 yang memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk menyusuli tindakan susulan.
Orang awam boleh mengakses laporan itu mulai 10 pagi hari ini di laman web http://lkan.audit.gov.my dan https://agdashboard.audit.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial