Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kelemahan Pengurusan Kontrak Jejaskan Kesiapsiagaan TDM – LKAN

21/07/2025 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan kelemahan ketara dalam pengurusan perolehan dan pentadbiran kontrak kenderaan perisai Tentera Darat Malaysia (TDM), yang berpotensi menyebabkan kerajaan berdepan risiko kerugian.

Menurut LKAN 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, terdapat kontrak berjumlah RM7.8 bilion melibatkan kenderaan perisai utama dalam tempoh pengauditan dari 2020 hingga 2023, iaitu Gempita, Pendekar, Adnan, Lipan Bara dan MIFV.

Kontrak tersebut seharusnya menyokong kesiapsiagaan TDM untuk menjadi sebuah angkatan tentera darat yang moden dan berkeupayaan mempertahankan kedaulatan Malaysia, namun kelewatan dan kelemahan pentadbiran menjejaskan pencapaian objektif itu.

“Antara penemuan utama adalah kelewatan ketara dalam pembekalan 68 kenderaan Gempita oleh sebuah syarikat tempatan, menyebabkan denda sebanyak RM162.75 juta yang hanya dituntut pada 15 Jan 2025 iaitu 746 hari (dua tahun 15 hari) selepas kontrak tamat pada 31 Dis 2022.

“Audit juga mendapati kerajaan telah membuat bayaran penuh sebanyak RM7.52 bilion walaupun syarikat gagal mematuhi jadual penghantaran yang dipersetujui manakala bon pelaksanaan kontrak berjumlah RM53.93 juta yang tamat pada 31 Dis 2024 juga dilihat tidak mencukupi untuk menampung jumlah denda,” menurut laporan itu.

Semakan bagi tempoh sama turut mendapati kelewatan dalam perkhidmatan senggaraan, pembaikan dan pembekalan alat ganti bagi kenderaan Gempita, Adnan dan Pendekar, dengan anggaran denda berjumlah RM1.42 juta masih belum dikenakan hingga akhir 2023, walaupun perkhidmatan lewat 227 hari.

“Laporan turut menegur pelaksanaan perolehan secara pecah kecil oleh beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang melanggar peraturan kewangan, melibatkan pembelian terus dan sebut harga berjumlah RM107.54 juta bagi tempoh 2020 hingga 2023, sedangkan perolehan melebihi RM500,000 setahun sepatutnya melalui tender terbuka,” menurut laporan itu.

Selain itu, ketiadaan kontrak utama bagi beberapa jenis kenderaan seperti MIFV dan Lipan Bara dalam tempoh audit memaksa PTJ melaksanakan perolehan ad hoc sekali gus meningkatkan risiko tadbir urus.

Kementerian Pertahanan menjelaskan bahawa kelewatan berpunca daripada faktor luar kawalan termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun Audit menegaskan langkah seperti pengeluaran notis denda sepatutnya dilaksanakan ketika kontrak masih berkuat kuasa bagi melindungi kepentingan kerajaan.

Audit turut mencadangkan supaya kontrak diwujudkan dalam tempoh sewajarnya dan sebarang perolehan semasa ketiadaan kontrak tidak dilaksanakan secara pecah kecil di peringkat PTJ, sebaliknya dikemukakan kepada Kementerian Kewangan melalui Pegawai Pengawal untuk kelulusan khas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan