KOTA BHARU, 21 Julai (Bernama) -- Cadangan untuk menyambung Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Pasir Mas masih pada peringkat kajian oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Kementerian Pengangkutan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata cadangan ini dilihat lebih signifikan sebagaimana dipersetujui antara kerajaan Malaysia – Thailand untuk menghidupkan semula laluan kereta api sedia ada di antara Pasir Mas dengan Sungai Golok di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk menyambung semula rangkaian kereta api antara kedua-dua negara.
Beliau berkata kerajaan Kelantan pada ketika ini mencadangkan supaya jajaran ECRL diteruskan sehingga Rantau Panjang di Pasir Mas dari Kota Bharu dan bukan lagi ke jajaran asal di Tumpat.
"Bagaimanapun, ia masih pada peringkat kajian oleh pihak MRL dan Kementerian Pengangkutan bagi menyambung laluan ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Pasir Mas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran) mengenai usaha kerajaan negeri untuk mengemukakan cadangan pelaksanaan ECRL ke jajaran asal, iaitu Tumpat, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya sedang meneliti cadangan untuk menyambung laluan ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Pasir Mas bagi memperkukuh jaringan perhubungan dengan Thailand.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri juga telah merangka perancangan strategik bagi memastikan pembangunan di sekitar jajaran projek ECRL dapat dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya dalam sektor industri perkilangan dan pembuatan yang berpotensi melonjakkan ekonomi di negeri ini.
"Antara perancangan utama yang sedang dilaksanakan ialah pembangunan berasaskan Cargo Oriented Development (COD) di Stesen Pasir Puteh, dilihat mampu menarik bukan sahaja pelaburan swasta dan luar negara, malah akan menjana rantaian ekonomi hiliran seperti perkhidmatan pengangkutan, pembungkusan serta pembekalan bahan mentah.
"Selain itu, pembangunan berasaskan Transit Oriented Development (TOD) di Stesen Tunjong, Kota Bharu pula dilihat boleh menghidupkan Tunjong sebagai perbandaran baharu serta mewujudkan ekosistem ekonomi yang seimbang antara mobiliti rakyat, peluang pekerjaan dan kualiti hidup," katanya.
Projek ECRL dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2026 dan perkhidmatan tren bagi laluan Kota Bharu ke Gombak, Selangor dapat beroperasi menjelang Januari 2027, sementara jajaran kedua dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap setahun kemudian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial