Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Wayang Santri: Tradisi Unik Masyarakat Jawa Sarat Pesanan Moral Dan Keislaman

21/07/2025 01:32 PM

Oleh Kamarul Halim M Kamal

MUAR, 21 Julai (Bernama) -- Persembahan pentas Wayang Santri mungkin masih asing dalam kalangan masyarakat di negara ini namun ia merupakan satu tradisi unik yang cukup terkenal dalam kalangan komuniti Jawa di Indonesia, diwarisi sejak turun-temurun.

Dalang muda milenial Wayang Santri, Ki Haryo Susilo Enthus Susmono berkata masih ramai di Malaysia menyangka Wayang Santri sama seperti wayang kulit, terutamanya yang popular di Kelantan dan Terengganu.

Atas sebab itu, beliau berkata siri jelajah pentas Wayang Santri dilaksanakan di Johor dan Kuala Lumpur buat julung kali bermula 19 Julai lepas bertujuan memperkenalkan kesenian tersebut kepada masyarakat negara ini.

“Selain menjadi wadah persembahan silang budaya, ia juga sebagai usaha mempererat hubungan budaya antara dua negara yang sememangnya memiliki ikatan budaya yang hampir dan tidak boleh dipisahkan.

“Berbeza dengan wayang kulit yang dimainkan di sebalik kain kelir, Wayang Santri atau juga dikenali sebagai wayang golek dipersembahkan secara langsung menggunakan patung-patung kayu,” katanya kepada Bernama selepas persembahan Tour Wayang Santri Malaysia 2025: Diplomasi Budaya Indonesia-Malaysia di Keraton Mbah Anang, di sini baru-baru ini. 

Keraton Mbah Anang merupakan pusat aktiviti kebudayaan berteraskan adat tradisi masyarakat Jawa di  Muar.

Ki Haryo berkata pementasan Wayang Santri mengetengahkan jalan cerita berunsur moral dan dakwah Islamiah, antaranya berkisarkan kerajaan Islam Sunan Kalijaga selain turut diselitkan elemen kontemporari yang masih selari dengan konsep asal.

Mewarisi ilmu sebagai dalang daripada bapanya, Ki Enthus Susmono, beliau berkata setiap persembahan melibatkan 17 hingga 20 pemuzik latar yang memainkan alat muzik tradisional seperti demung, saron, gong, bonang, gendang Sunda serta beberapa instrumen moden, termasuk biola dan keyboard.

“Antara kelainan persembahan ini adalah penyisipan bacaan ayat suci al-Quran dan selawat ke atas Nabi, menjadikannya bukan sekadar hiburan tetapi juga platform penyampaian dakwah.

“Sebanyak 190 patung kayu digunakan untuk satu pementasan yang biasanya berlangsung selama lima jam, membawakan lima babak lengkap diiringi muzik Gamelan Abu Nawas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Republik Indonesia Ahmad Muzani berkata siri jelajah ini relevan dengan masyarakat Malaysia, khususnya komuniti Jawa dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala menerusi pendekatan kebudayaan.

“Kami mahu persembahan ini diteruskan dari semasa ke semasa sebagai satu bentuk jambatan budaya Indonesia-Malaysia. Ia juga memberi peluang kepada diaspora Indonesia di Malaysia menghidupkan semula memori budaya kampung halaman,” katanya ketika merasmikan program itu.

Pengasas Persatuan Jawa Parit Bugis Muar Johar Paimin pula berkata konsep persembahan Wayang Santri yang berteraskan dakwah dan perjuangan Islam menjadikannya mudah diterima masyarakat tempatan.

“Selain memperkenalkan warisan budaya kepada masyarakat Malaysia, ia juga menjadi medium melepaskan kerinduan pekerja Indonesia berketurunan Jawa untuk menikmati kesenian asal mereka.

“Menurut pihak Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru terdapat kira-kira 130,000 warga Indonesia menetap di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Sambutan mereka terhadap persembahan ini sangat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerusi Keraton Mbah Anang akan terus bekerjasama dengan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) dan KJRI bagi menganjurkan program kebudayaan dan kesenian, agar nilai budaya masyarakat Jawa terus hidup dan dapat diwarisi generasi seterusnya.

Persembahan pentas Wayang Santri yang julung kali diadakan di Malaysia turut mendapat kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan