Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM: Cadangan Tubuh JKPK Perlu Pertimbangan Menyeluruh

22/07/2025 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Cadangan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) merangkumi wakil kerajaan dan pembangkang bagi menyemak dan menilai calon Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan pertimbangan menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata cadangan itu memerlukan pertimbangan dan penyelarasan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan dengan mengambil kira kesesuaian dan impaknya secara menyeluruh.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat yang telah ditubuhkan oleh Majlis Dewan Rakyat.

“JKPK melaksanakan fungsi berdasarkan terma rujukan masing-masing yang telah ditetapkan berdasarkan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dianggotai oleh Ahli Dewan Rakyat daripada kerajaan dan pembangkang.

“Dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 telah memasukkan Strategi 2: Kebertanggungjawaban Awam yang menetapkan substrategi untuk Meneliti semula pensyaratan dalam pelantikan dan pemecatan Ketua Pesuruhjaya SPRM serta penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM sebagai antara langkah reformasi SPRM bagi jangka masa panjang,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan melalui laman web Parlimen Malaysia hari ini.

Menurut Azalina, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM termaktub di bawah Seksyen 5 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 696).

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) sama ada kerajaan bercadang untuk menubuhkan satu JKPK yang merangkumi wakil kerajaan dan pembangkang bagi menyemak dan menilai calon Ketua Pesuruhjaya SPRM.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan