PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 yang diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat semalam menandakan kemajuan besar dalam usaha Kerajaan MADANI memperkukuh integriti, memerangi rasuah dan melindungi pemberi maklumat yang bertindak demi kepentingan negara.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pindaan itu sejajar dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028.
Menurut BHEUU, pindaan itu dijangka meningkatkan keyakinan rakyat untuk tampil melaporkan sebarang salah laku atau penyelewengan tanpa rasa takut tidak dilindungi oleh undang-undang.
"Kerajaan MADANI tetap komited untuk menolak segala bentuk intimidasi terhadap pemberi maklumat dan akan terus memperkukuh dasar perlindungan demi membina Malaysia yang lebih telus, berintegriti dan bebas rasuah," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
BHEUU memaklumkan kerajaan juga merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen, pihak berkepentingan dan masyarakat sivil atas sumbangan, maklum balas dan sokongan dalam menjayakan pindaan berkenaan demi masa depan negara.
Menurut BHEUU, pindaan itu memperkenal beberapa pembaharuan penting termasuk penubuhan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat bagi memastikan pelaksanaan akta lebih sistematik serta berkesan dan pemotongan proviso Seksyen 6(1) bagi menghalang sebarang perlindungan terhadap tindakan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan.
"Prinsip ini amat penting dalam memastikan sebarang kelakuan tidak wajar dan tindakan memudaratkan yang berlaku dalam sektor awam mahupun swasta boleh didedahkan selagi mana pendedahan itu dibuat secara bertanggungjawab mengikut syarat-syarat yang telah diperuntukkan," katanya.
Selain itu, pindaan berkenaan memperuntukkan perluasan perlindungan melalui Program Perlindungan Saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 untuk mereka yang diancam selepas membuat pendedahan dan penambahan Seksyen 11(1A) yang memberikan kuasa budi bicara kepada agensi penguat kuasa mengekalkan perlindungan berdasarkan kepentingan awam.
"Pindaan ini amat penting bagi peruntukan pembatalan perlindungan jika seseorang pemberi maklumat didapati menyertai kelakuan tidak wajar tersebut," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial