Oleh Siti Baaqiah Mamat
KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Reformasi undang-undang dan institusi Kerajaan MADANI terus diperkukuh apabila lima rang undang-undang dan dua usul penting diluluskan pada minggu pertama Persidangan Dewan Rakyat, termasuk pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan pengenalan hukuman khidmat masyarakat bagi kesalahan membuang sampah kecil.
Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 yang antara lain bertujuan memperluas skop perlindungan kepada pemberi maklumat dan memperkukuh mekanisme pelaporan salah laku, diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 24 Ahli Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan RUU itu berkata kerajaan komited dalam memperkukuh perlindungan kepada pemberi maklumat sebagai sebahagian usaha memerangi rasuah dan meningkatkan integriti dalam sektor awam serta swasta.
Azalina berkata selepas lebih sedekad berkuat kuasa, Akta 711 masih mempunyai kelemahan yang boleh ditambah baik bagi memastikan keberkesanannya.
Turut mendapat perhatian persidangan Dewan Rakyat minggu ini ialah kelulusan tiga RUU berkaitan kerajaan tempatan bagi memperkasakan aspek kebersihan awam di negara ini, iaitu RUU Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025, RUU Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 dan RUU Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pindaan itu bertujuan menangani isu pembuangan sampah kecil seperti puntung rokok, tisu, plastik, tin minuman dan pembungkus makanan di tempat dan jalan awam, dengan memperkenalkan perintah khidmat masyarakat sebagai tambahan kepada hukuman denda terhadap kesalahan itu.
Nga berkata langkah itu penting bagi memupuk tanggungjawab sivik, meningkatkan kesedaran awam serta membudayakan amalan menjaga kebersihan sekali gus menyumbang ke arah Malaysia yang lebih bersih dan lestari demi kesejahteraan rakyat.
Turut diluluskan ialah RUU Kredit Pengguna 2025 (Kewangan) yang digubal bagi menangani kelompangan ketara dalam industri tidak dikawal selia khususnya perniagaan yang menyasarkan pengguna kredit rentan dan mudah terdedah kepada eksploitasi.
Persidangan minggu ini turut menyaksikan empat RUU dibentangkan untuk bacaan kali pertama, iaitu RUU Racun (Pindaan) 2025, RUU Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025, RUU Perikanan (Pindaan) 2025 dan RUU Fi (Feri Pengkalan Kubor) (Pengesahan) 2025.
Sementara itu, persidangan Dewan Rakyat turut meluluskan dua usul, iaitu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan/Badan Berkanun/Syarikat Kerajaan Persekutuan dan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2023.
Kelulusan kedua-dua usul itu menunjukkan keterbukaan dan akauntabiliti Kerajaan MADANI dalam memastikan tadbir urus yang baik dalam aspek pengurusan kewangan awam serta penghormatan kepada hak asasi manusia sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan melalui pelaporan yang telus dan pengauditan komprehensif.
Beberapa Ahli Parlimen yang terlibat dalam perbahasan usul LKAN 2/2025 turut memuji keterbukaan kerajaan membentangkan laporan itu dan menyifatkannya sebagai satu langkah progresif yang memberi peluang kepada wakil rakyat meneliti penemuan audit dan mengemukakan cadangan penambahbaikan secara konstruktif.
Selain itu, Azalina berkata pembentangan dan perbahasan Laporan Tahunan SUHAKAM di Dewan Rakyat ialah satu tradisi penting dalam sejarah demokrasi negara kerana ia memberi ruang kepada Ahli Parlimen meneliti perlaksanaan hak asasi di negara ini serta mencadangkan penambahbaikan terhadap dasar dan amalan sedia ada.
Turut mencuri tumpuan minggu ini ialah ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyatakan pendirian Malaysia yang tidak berubah terhadap isu Gaza di Palestin dan negara Asia Barat termasuk Iran.
Pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Anwar berkata pendirian negara itu tetap, walaupun berkemungkinan berdepan ugutan dan bantahan Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan tarif yang masih berjalan hingga Ogos ini.
Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 bagi persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial