ISKANDAR PUTERI, 23 Julai (Bernama) -- Dianggarkan sebanyak 150,000 tan bahan kimia berbahaya dibawa merentasi sempadan Malaysia dan Singapura melalui Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) pada setiap tahun.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar bagaimanapun berkata tiada sebarang kemalangan melibatkan kes tumpahan bahan kimia dilaporkan di lokasi berkenaan setakat ini.
“Justeru, persiapan rapi (menerusi latihan simulasi) sentiasa dilakukan. Ini bagi mencegah daripada kes tumpahan bahan kimia dan tindakan pantas dapat diambil,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas latihan simulasi kecemasan bagi menangani tumpahan bahan kimia kerjasama Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura mengenai Alam Sekitar (MSJCE) kali ke-14 di Linkedua di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura Wong Kang Jet.
Dalam pada itu, Wan Abdul Latiff berkata latihan dengan kerjasama NEA serta kira-kira 15 agensi itu dapat meningkatkan lagi keupayaan kerjasama antara kedua-dua negara, sekali gus memperkuat tindak balas antara agensi terlibat dalam mengurangkan risiko insiden tumpahan bahan kimia.
“Latihan ini sangat penting, ia memperkuat komunikasi antara dua negara dan agensi kita dalam menggerakkan segala aset dan sumber manusia untuk menangani isu tumpahan bahan kimia ini.
“Pada kali ini, Singapura menjadi tuan rumah dan insya-Allah, pada dua tahun lagi Malaysia pula akan jadi tuan rumah," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial