Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tatakelola Terus Jadi Keutamaan Kerajaan - PM Anwar

24/07/2025 01:46 PM

PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen bahawa amalan tatakelola baik terus menjadi keutamaan dalam pentadbirannya, sekali gus dapat menangani pembaziran dan amalan rasuah yang berakar umbi sekian lama.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan penjawat awam dalam menjayakan agenda reformasi dan aspirasi kerajaan MADANI, yang komited untuk menghentikan amalan boros dan mengatasi kelemahan dalam pengurusan kewangan negara.

Justeru, beliau berkata tindakan terhadap kes rasuah lama tidak sepatutnya dianggap bersifat peribadi atau berniat membalas dendam, khususnya apabila individu terbabit sudah berusia atau meninggal dunia.

"Kita bukan mahu menghukum orang yang telah meninggal dunia, sebaliknya berusaha mendapatkan semula dana awam yang telah disalahgunakan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Perdana Menteri turut menegur beberapa tokoh pembangkang yang mempertahankan kekayaan luar biasa individu tertentu sedangkan mereka sendiri tidak mengetahui jumlah sebenar aset dimiliki, yang sebahagiannya hanya didedahkan selepas kematian.

“(Mereka) guna Parlimen itu mempertahankan orang yang memunggah kekayaan berbilion-bilion...berniaga apa? Tak tahu tapi berapa kekayaan RM4 bilion, dia beli saham agaknya...bila dia meninggal berapa dana dia? RM20 bilion...ini sesuatu yang langsung tidak boleh diterima,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan