JOHOR BAHRU, 25 Julai (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini memindahkan dua ekor gajah yang ditangkap di Kampung Sri Lukut, Kahang Kluang ke habitat baharu yang lebih sesuai.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Ling Tian Soon berkata gajah itu merupakan antara sembilan yang ditangkap menerusi Operasi Bersepadu Tangkapan dan Translokasi Gajah yang dilancarkan 14 Julai lepas.
Beliau berkata empat ekor gajah telah dipindahkan ke lokasi sesuai pada 23 Julai manakala seekor anak gajah dibawa ke Pusat Santuari Gajah (JES) di Kota Tinggi untuk dipelihara dan dilatih menjadi gajah penunjuk arah.
Baki dua ekor gajah lagi akan dipindahkan pada 28 Julai ini.
“Operasi pemindahan terbesar dalam sejarah negeri ini turut mendapat bantuan unit khas gajah dari negeri lain dan diharapkan dapat mengurangkan konflik manusia-gajah di kawasan yang terjejas.
“Selepas operasi ini selesai, Perhilitan akan meneruskan kerja-kerja pemindahan gajah di kawasan lain sekitar daerah Kluang,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Beliau berkata proses pemindahan hari ini mengambil masa selama lima jam.
Sebelum ini, Perhilitan dilaporkan memaklumkan sebanyak 699 aduan berkaitan konflik hidupan liar melibatkan gajah telah diterima di Johor bagi tempoh 2020 hingga 2024.
Daripada jumlah itu, sebanyak 228 aduan direkodkan di Kluang, menjadikan daerah ini antara lokasi panas konflik gajah di Johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial