Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PJRM 2025: KPDN Laksana Tiga Elemen Penambahbaikan

24/07/2025 04:26 PM

PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan tiga elemen penambahbaikan utama dalam pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) 2025, susulan penambahan peruntukan RM300 juta seperti diumumkan kerajaan semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata tiga elemen itu melibatkan kekerapan pelaksanaan PJRM di seluruh negara, meningkatkan pertambahan bilangan unit penyimpanan stok (SKU) dan menambah lebih banyak rakan strategik peruncitan.

“KPDN menyasarkan sebanyak 20,000 siri pelaksanaan PJRM sepanjang tahun ini, meliputi kesemua 222 kawasan Parlimen, 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 40 zon di Wilayah Persekutuan.

“Setakat Selasa lepas (22 Julai), sebanyak 12,441 Siri PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara,” katanya selepas membuat tinjauan PJRM yang diadakan di KPDN di sini hari ini.

Armizan berkata kementerian itu juga akan meningkatkan jumlah SKU kepada minimum 30 jenis di satu-satu lokasi PJRM, berbanding 20 hingga 30 jenis ketika ini.

Beliau berkata penambahan bilangan SKU di satu-satu PJRM adalah berdasarkan permintaan golongan sasar setempat dan keperluan musim penganjuran seperti musim perayaan.

Selain itu, Armizan berkata lebih banyak rakan strategik peruncitan akan dilibatkan melalui kaedah PJRM Bergerak, Dalam Premis dan Luar Premis.

Beliau berkata KPDN akan mengemas kini penjadualan tambahan PJRM melalui laman sesawang kementerian dari semasa ke semasa untuk rujukan orang ramai.

Ketika ditanya adakah diskaun ke atas barangan jualan akan ditambah berbanding 10 hingga 30 peratus ketika ini, beliau berkata perkara itu akan dipertimbangkan.

“Kita akan teliti dan bincangkan kadar (diskaun), secara kasarnya kita tetapkan antara 10 hingga 30 peratus. Itu tidak berubah tetapi ada item yang mungkin sebelum ini diletakkan diskaunnya kepada 10 peratus, mungkin boleh ditambah diskaun untuk item itu,” katanya.

Armizan berkata kementerian itu akan mengemukakan laporan pelaksanaan PJRM 2025 kepada Kementerian Kewangan pada Disember ini bagi mengetahui sejauh mana prestasi dan impak pelaksanaan program itu kepada rakyat.

Beliau dalam pada itu berkata KPDN amat menghargai inisiatif dan ikhtiar berpaksikan kesejahteraan rakyat yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung semalam.

Anwar mengumumkan peruntukan PJRM ditingkatkan sekali ganda kepada RM600 juta tahun ini berbanding RM300 juta yang telah disediakan, bertujuan untuk meningkatkan kekerapan dan memperluas pelaksanaan program itu meliputi kesemua 600 DUN serta memperbanyak jenis barangan untuk memberi pilihan yang lebih meluas kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan