Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

LKAN 2/2025: PAC Akan Panggil KKDW, Felcra Berhad Beri Penjelasan

24/07/2025 07:23 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Felcra Berhad untuk menjelaskan berhubung Pengurusan Perolehan Ladang Sawit oleh Felcra Berhad selepas mendengar taklimat Ketua Audit Negara berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 hari ini.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata jawatankuasa itu juga akan memanggil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk memberi penjelasan berhubung Pengurusan Kawalan Harga serta Subsidi Minyak Masak.

Selain itu, PAC meminta Kementerian Kewangan mengadakan taklimat mengenai tatakelola Jawatankuasa Perolehan Tender.

“Bagi prosiding PAC untuk isu-isu di LKAN 2/ 2025, PAC akan memberikan tumpuan kepada tajuk-tajuk yang dikenal pasti mempunyai unsur 3P iaitu penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pembaziran serta 1K iaitu ketirisan. 

“Tarikh prosiding dan taklimat bagi tiga tajuk berkaitan akan ditentukan kemudian,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul LKAN 2/2025 mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan/Badan Berkanun/Syarikat Kerajaan Persekutuan yang mengandungi perkara dibangkitkan hasil pengauditan terhadap lima program, aktiviti dan projek di tujuh kementerian. 

Usul yang dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 32 Ahli Parlimen.

Mas Ermieyati berkata jawatankuasa itu juga akan membentangkan dua Penyata Tindakan Susulan Kementerian pada 28 dan 29 Julai ini iaitu Penyata PAC Terhadap Tindakan Susulan Kementerian Dalam Negeri Bagi Syor-Syor Penyata PAC Berhubung Perolehan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (DR.4/2025).

Satu lagi melibatkan Penyata PAC Terhadap Tindakan Susulan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Jabatan Air Negeri Sabah Bagi Syor-Syor Penyata PAC Berhubung Pengurusan Projek Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Sabah (DR.3/2025).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan