JOHOR BAHRU, 24 Julai (Bernama) -- Sistem Dokumen Sokongan untuk Import dan Eksport Malaysia (MyCIEDS) berupaya mengekang kebocoran maklumat dan memastikan ketelusan dalam pengurusan dokumen import dan eksport negara.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman atau Cukai Dalam Negeri) Norlela Ismail berkata sistem berkenaan juga akan memperkukuhkan integriti pegawai kastam dan ejen penghantaran.
“Apabila (maklumat) dokumen dimasukkan ke dalam sistem, pegawai kita buat (proses) berdasarkan apa yang dipaparkan dalam sistem.
“Kita juga lihat (keberkesanan sistem) melangkaui sasaran, sebab apabila kita buat perjumpaan dengan ejen, mereka bagi maklum balas yang sangat positif,” katanya selepas Majlis Perasmian MyCIEDS Zon Selatan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
Sementara itu, Anis Rizana berkata MyCIEDS adalah platform pemudah cara bagi penghantaran dokumen sokongan antara pegawai kastam dan syarikat ejen penghantaran atau pengimport bagi setiap Borang Kastam yang telah diikrar melalui Sistem Maklumat Kastam (SMK).
Beliau berkata MyCIEDS adalah komponen penting dalam menyokong agenda nasional selaras aspirasi kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus perdagangan rentas sempadan dan meningkatkan daya saing negara.
“… dengan sistem ini, daripada kertas kepada tanpa kertas. Ia akan mempercepatkan proses, maka hasil negara akan lebih banyak dan memberi impak tinggi kepada ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata setakat ini lebih 1,350 syarikat atau ejen penghantaran yang terlibat dalam aktiviti import dan eksport di seluruh negara berdaftar sebagai pengguna MyCIEDS sejak ia mula digunakan secara berperingkat pada Januari lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial