Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bintang Luncur Ais Ashley Chin Tempa Nama Dalam MBOR

24/07/2025 09:31 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Bintang luncur laju trek pendek Malaysia Ashley Chin Sook Hui diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Peluncur Laju Trek Pendek Wanita Pertama yang Bertanding dalam Dua Sukan Musim Sejuk Asia.

Menurut MBOR dalam kenyataan hari ini, Ashley merupakan atlet luncur ais kedua negara yang dimasukkan dalam rekod kebangsaan tersebut selepas rakan sepasukannya Bryna Ang, yang pada 2024 muncul wanita Malaysia pertama bertanding dalam kejohanan luncur laju trek pendek Piala Dunia remaja.

“Pengiktirafan itu meraikan penyertaan Ashley dalam kedua-dua Sukan Musim Sejuk Asia 2017 di Sapporo (Jepun) dan temasya sama edisi 2025 yang diadakan awal tahun ini di Harbin, China.

“Beliau kembali ke pentas antarabangsa selepas lapan tahun membuat debut, dan pemilihannya sebagai seorang daripada pembawa bendera Malaysia pada Sukan Harbin, menandakan suatu detik pencapaian selepas mengharungi perjalanan bertemankan ketabahan, dedikasi tanpa jemu dan minat kepada sukan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Anugerah itu disampaikan hari ini di Gelanggang Luncur Ais Sunway Pyramid Ice Skating Rink yang juga arena di mana Ashley kali pertama menyarung kasut luncur aisnya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MBOR Jwan Heah memuji sumbangan cemerlang Ashley kepada sukan Malaysia menyatakan bahawa bertanding dalam sukan luncur ais di Sukan Musim Sejuk bukanlah sesuatu yang mudah, dan beliau (Ashley) telah melakukannya bukan sekali malah dua kali.

“Malaysia ialah negara beriklim tropika di mana salji dan ais tiada secara semulajadi dan sukan seperti meluncur dan luncur ais bukanlah sebahagian daripada kurikulum kita. Namun kita secara konsisten diinspirasikan oleh atlet seperti Ashley yang melangkaui sempadan,” katanya sambil menambah perjalanan Ashley membuktikan bahawa dengan kecekalan, keyakinan dan usaha sepenuh jiwa, apa sahaja boleh dicapai.

Ashley mula meluncur pada usia 10 tahun dan pantas mendaki ranking untuk menjadi antara nama yang terkenal di Malaysia dalam sukan musim sejuk.

Selain kemunculannya dalam Sukan Musim Sejuk Asia, Ashley turut merangkul gangsa dalam acara 1,000 meter (m) dan membawa pulang emas dalam 3000m berganti-ganti wanita pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Beliau kemudian memenangi emas dalam 3000m berganti-ganti wanita pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Walaupun dengan fasiliti dan dana yang terhad bagi sukan musim sejuk di Malaysia, Ashley telah berlatih tanpa jemu sambil mengimbangi pelajaran dengan pertandingan antarabangsa serta khidmat negara untuk sukan tersebut.

Menurut MBOR, dedikasi beliau bukan sahaja membuka jalan untuk peluncur muda tetapi juga membantu meningkatkan profil luncur laju trek pendek di Asia Tenggara.

Ashley dalam kenyataan sama mengimbau tentang tetapan mindanya yang telah membawa beliau ke hari ini, menjelaskan bahawa beliau berani mencuba, tidak dipengaruhi pendapat orang lain dan kekal merendah diri sambil terus konsisten.

“Sebaik sahaja anda bermula, akan ada orang bercakap, jadi jangan peduli, lakukan saja apa yang anda suka.

“Apabila akhirnya anda mencapai sasaran anda, ingatlah untuk terus merendah diri, kerana orang di sekeliling anda yang membantu anda untuk mencapainya. Dan yang paling penting, konsisten adalah segalanya. Ia seperti sebuah kereta dengan empat roda, hilang satu dan anda tidak boleh melakukannya,” ujar Ashley. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan