Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KADA, NAFAS Perkukuh Pertanian Negara Melalui Program Tautan Tani

24/07/2025 10:33 PM

KOTA BHARU, 24 Julai (Bernama) -- Kerjasama antara Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diyakini mampu memperkukuh sektor pertanian negara melalui pemantapan rantaian bekalan input serta pembangunan kapasiti petani secara lebih tersusun dan strategik.

Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad menghargai NAFAS atas kesudian menjadi rakan strategik utamanya dalam menjayakan Program Tautan Tani yang disifatkan sebagai platform penting bagi memartabatkan sektor pertanian negara.

"Kerjasama erat antara KADA dan NAFAS merupakan langkah tepat dalam memastikan keterjaminan makanan negara apatah lagi dalam suasana semasa yang menuntut kolaborasi pelbagai pihak bagi menangani cabaran sektor agromakanan.

“Saya yakin gabungan kepakaran KADA dalam pembangunan kawasan dan modal insan serta kekuatan NAFAS dalam logistik dan rantaian bekalan input pertanian, mampu membentuk satu ekosistem pertanian yang lebih mampan, produktif dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Tautan Tani NAFAS Bersama KADA di sini hari ini.

Beliau berkata program seperti itu merupakan manifestasi kesungguhan kedua-dua agensi bagi memperkasa ilmu dan amalan pertanian dalam kalangan peladang di samping menggalakkan budaya kerjasama yang kukuh dalam kalangan pemain industri.

"Inisiatif ceramah pengenalan produk baja serta lawatan ke kilang pembuatan sebagai usaha berkesan untuk meningkatkan kefahaman peladang terhadap rantaian nilai input pertanian selain memupuk kesedaran penggunaan baja yang betul dan efisien amat berkesan.

“Peladang perlu menjadi pengguna yang celik maklumat iaitu memahami kandungan baja, fungsi unsur dan kesannya kepada hasil tanaman malah penggunaan racun makhluk perosak mesti mengikut tatacara selamat demi jaminan hasil yang berkualiti dan alam sekitar terpelihara,” katanya.

Khalid berkata taklimat berkaitan Amalan Pertanian Baik (GAP) yang dibentangkan KADA adalah penting dalam memastikan hasil pertanian negara mencapai piawaian antarabangsa untuk menembusi pasaran global.

“Sesi perkongsian pengalaman petani juga sangat bermakna kerana ia memberi peluang untuk saling belajar, berkongsi kejayaan, teknik dan inovasi dari lapangan yang sering kali lebih praktikal daripada teori semata-mata,” katanya.

Beliau juga berkata Program Tautan Tani adalah sebahagian daripada kolaborasi bermanfaat antara KADA, NAFAS dan komuniti peladang sekali gus menjadikan pertanian sebagai bidang yang moden serta berdaya maju.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan