Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jangan Politikkan, Perlekeh Bantuan Sara RM100 -- Ramanan

25/07/2025 12:51 AM

BUTTERWORTH, 24 Julai (Bernama) -- Pemberian bantuan tunai tambahan sebanyak RM100 kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menerusi Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tidak sepatutnya dipolitikkan, sebaliknya harus dilihat sebagai langkah prihatin kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata tindakan memperlekehkan nilai bantuan berkenaan hanya mencerminkan kurangnya empati terhadap realiti kehidupan golongan berpendapatan rendah.

“Bagi mereka yang berada dalam kelompok T20, mungkin RM100 itu kecil, namun bagi golongan B40, jumlah ini amat bermakna. Ia boleh digunakan untuk membeli beberapa kilogram beras atau ayam bagi keperluan seisi keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Taklimat dan Penyerahan Pembiayaan Dana Khas PENN 2.0 di sini, malam tadi.

Ramanan menegaskan sebarang inisiatif kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat wajar disokong, bukannya dipandang sinis atau diperlekehkan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif utama di bawah Kerajaan MADANI, termasuk pemberian RM100 secara sekali bayar kepada rakyat melalui program SARA, penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya, dan subsidi harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

Dalam perkembangan lain, Ramanan berkata Kerajaan MADANI kini tidak lagi bergantung kepada satu agensi seperti Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) semata-mata untuk menangani isu masyarakat India, sebaliknya melaksanakan pendekatan menyeluruh merangkumi pelbagai agensi.

Antara agensi yang terbabit termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Bank Rakyat, SME Bank dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Beliau berkata penambahan dana bagi Program Prosperity Empowerment and a New Normal for Indian Women (PENN) daripada RM50 juta kepada RM100 juta, serta peruntukan tambahan RM50 juta bagi Program BRIEF-i dan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI), menjadi bukti komitmen kerajaan dalam memperkasa ekonomi masyarakat India.

“Kerajaan turut memperkenalkan pembiayaan baharu Vanigham Financing for Indian Entrepreneurs berjumlah RM50 juta,” katanya.

Menurut Ramanan, secara keseluruhan sebanyak RM417 juta telah disalurkan setakat bulan ini bagi melaksanakan pelbagai inisiatif khusus untuk komuniti usahawan India.

Terdahulu, seramai 22 penerima menerima pembiayaan berjumlah RM932,000 di bawah program PENN, SPUMI, SPUMI Goes Big dan BRIEF-i.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan