Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Empat Pasukan Terbaik Berentap Di Pentas Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-50

25/07/2025 12:24 PM

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri edisi ke-50 tahun 2025 kini sampai ke kemuncak, dengan empat pasukan terbaik akan berentap pada peringkat akhir bagi kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi kategori Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang yang merupakan johan edisi lepas, bakal berhadapan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam.

“Bagi kategori Bahasa Inggeris pula, Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya akan bertemu Sekolah Menengah Sains Muar,” menurut kenyataan KPM itu.

Pertandingan akhir kategori Bahasa Inggeris dijadualkan berlangsung hari ini dan kategori Bahasa Melayu pada esok. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir untuk menyempurnakan pertandingan akhir ini.

Menurut kenyataan itu pertandingan akhir bagi kedua-dua kategori akan disiarkan secara penstriman video langsung melalui EduwebTV KPM dan saluran DidikTV KPM.

Selain Anugerah Pembahas Terbaik, bermula tahun ini empat anugerah baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Permata Bahas dan Anugerah Tunas Bahas bagi kategori Bahasa Melayu, serta Aspiring Team Award dan Eloquence Award bagi kategori Bahasa Inggeris.

“Ia sebahagian daripada usaha berterusan KPM untuk membangunkan bakat murid dalam pertandingan ini," menurut kenyataan KPM.

Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 turut mendapat tajaan hadiah daripada Malaysia Energy Literacy Program (MELP) yang merupakan program literasi tenaga peringkat Kebangsaan yang diterajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Menurut kenyataan itu, pertandingan tersebut merupakan wadah intelektual mengasah kemahiran bahasa dan pemikiran kritis, serta membentuk karakter murid selaras dengan nilai Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan