KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan polis berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir.
Menterinya Fadhlina Sidek menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkait kes berkenaan yang masih dalam siasatan polis.
“Beri ruang kepada polis untuk menjalankan tugas secara profesional, telus, menyeluruh dan berintegriti. Tiada siapa yang akan dilindungi dan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Beliau berkata KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sentiasa memberi kerjasama penuh kepada proses siasatan, selain komited untuk terus memastikan kesejahteraan keluarga, murid, guru dan warga sekolah terlibat terpelihara.
“Ini dilakukan menerusi penyediaan bantuan segera termasuk aspek sokongan psikososial dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga. Semoga diberi kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berat ini,” katanya.
Zara Qairina, 13, dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada awal pagi 17 Julai lepas di Papar, Sabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial