MELAKA, 25 Julai (Bernama) -- Satu transformasi pertanian bakal dilaksanakan dalam usaha mengurangkan kadar kebergantungan yang tinggi kepada warga emas dalam sektor berkenaan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia berikutan dapatan Interim Pertanian Negeri Melaka 2024 merekodkan penglibatan belia dalam sektor tersebut hanya 10.1 peratus atau 1,316 orang manakala lebih separuh pengusaha pertanian berumur 60 tahun ke atas atau 55.3 peratus.
"Kita kini berdepan cabaran serius apabila peratus tertinggi pengusaha pertanian adalah warga emas... jadi melihat kepada dapatan ini, kerajaan negeri komited untuk melakukan satu transformasi pertanian bagi memastikan ia satu bentuk kerjaya yang boleh dan perlu diwarisi oleh generasi yang akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Ab Rauf berkata antara usaha tersebut ialah memperluaskan penggunaan teknologi moden dalam pertanian berskala besar khususnya bagi menarik minat lebih ramai belia menceburi sektor yang mencatat nilai jualan keseluruhan RM3.6 bilion.
"Akses kepada geran, latihan moden dan peluang pasaran juga akan diperluaskan kepada belia sebagai usaha mengubah persepsi bahawa pertanian bukan lagi kerja tradisonal tetapi satu kerjaya profesional yang lumayan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri komited untuk memperkukuh pemusatan tanah agar pengusaha kecil dalam pertanian dapat menikmati faedah skala ekonomi yang lebih besar.
Beliau berkata ia berikutan keluasan bertanam di Melaka direkodkan seluas 77,900 hektar melibatkan 24,000 hektar oleh pegangan individu dan 53,400 hektar oleh pertubuhan, dengan kelapa sawit kekal sebagai tanaman utama iaitu 55,700 hektar, diikuti getah dan padi, serta tanaman lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
"Dengan jumlah tersebut, pengusaha individu dilihat berdepan dengan cabaran saiz tanah yang kecil sekali gus menjejaskan hasil dan pendapatan mereka. Jadi, situasi ini menuntut satu dasar pemusatan tanah yang lebih efisien, teknologi pintar dan pendekatan kerjasama bagi menjadikan sektor pertanian di negeri ini lebih kompetitif," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial