DUNIA > BERITA

Taufan Super Ragasa: Rakyat Malaysia Dinasihat Berwaspada Di Hong Kong, Macao

24/09/2025 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong dan Macao menasihatkan rakyat Malaysia yang berada atau melancong ke wilayah berkenaan supaya kekal berada di dalam bangunan dan berwaspada ketika Taufan Super Ragasa melanda kawasan itu.

Dalam hantaran di laman Facebook rasminya pada Sabtu, konsulat memaklumkan bahawa amaran Taufan Tropika Isyarat No. 10 telah dikeluarkan pada 2.40 pagi (waktu tempatan), diikuti dengan Pengumuman Khas Isyarat Amaran Ribut Petir Ambar pada 2.45 pagi (waktu tempatan) di wilayah berkenaan.

“Amaran itu dijangka kekal berkuat kuasa untuk tempoh tertentu,” menurut kenyataan itu.

Konsulat juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk berada di tempat selamat ketika isyarat siklon tropika T8 (atau lebih tinggi) dikeluarkan, menyimpan bekalan makanan serta keperluan penting, dan menjauhi kawasan persisiran pantai.

Rakyat Malaysia turut diingatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini jadual penerbangan, manakala mereka yang memerlukan rawatan perubatan segera diminta menghubungi talian kecemasan 999 serta memaklumkan kepada konsulat melalui e-mel di mwhongkong@kln.gov.my atau WhatsApp di talian +852-6900-6390.

Konsulat turut menggalakkan rakyat Malaysia mengikuti garis panduan keselamatan tempatan dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa berkenaan, termasuk Balai Cerap Hong Kong (https://www.hko.gov.hk/en/index.html) dan Biro Meteorologi dan Geofizik Macao (https://www.smg.gov.mo/en).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan