Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

NHMS 2025 Fokus Kesihatan Warga Emas, Bermula 22 Julai Hingga 21 Sept

25/07/2025 07:43 PM

SEREMBAN, 25 Julai (Bernama) -- Institut Kesihatan Umum (IKU) melaksanakan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 bermula 22 Julai hingga 21 Sept ini bertujuan mendapatkan data berkaitan kesihatan dan morbiditi penduduk di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata NHMS 2025 memberi  tumpuan kepada kesihatan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas dengan matlamat menentukan status kesihatan warga emas di Malaysia ke arah penuaan sejahtera.

Beliau berkata kajian itu melibatkan kira-kira 16,700 tempat kediaman dipilih secara rawak di seluruh negara dengan mendapatkan data kesihatan menyeluruh dalam kalangan warga emas di negara ini.

“Modul utama dalam NHMS ini merangkumi tiga domain utama iaitu domain mental (saringan kognitif, saringan demensia, saringan kemurungan geriatrik).

“Domain fizikal (aktiviti kehidupan seharian, kehidupan seharian berinstrumental, kencing manis, tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi, penyakit kronik lain, sarkopenia dan kelemahan) serta domain sosial (bebanan penjaga tidak formal, sokongan sosial, kualiti hidup dan penuaan sejahtera),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 43 pasukan pengumpul data di lapangan dengan melibatkan lebih kurang 5,000 responden dan aktiviti pengumpulan data merangkumi temu bual secara bersemuka, soal selidik  kendiri dan penilaian klinikal.

“… seperti pengukuran tekanan darah, pengambilan darah secara tusukan jari (saringan kolesterol dan paras gula dalam darah) dan pengukuran sarkopenia (kekuatan genggaman tangan, peratusan jisim otot dan ujian duduk berdiri selama 30 saat,” katanya.

NHMS 2025 dijangka dapat memberikan maklumat terperinci tentang status kesihatan warga emas di negara ini dan hasil dapatan kajian itu membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) menilai dasar prioriti dan strategi program kesihatan di negara ini.

Lukanisman turut menyeru semua pihak terutamanya agensi kerajaan, profesional kesihatan, penyelidik dan pemimpin masyarakat untuk bersatu dalam misi ini dan bersama memastikan golongan warga emas dapat menjalani kehidupan yang sihat, bermakna dan produktif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan