SHAH ALAM, 26 Julai (Bernama) -- Kutipan sumbangan bagi Kempen Selamatkan Harimau Malaya mencecah RM2.1 juta sejak ia dilaksanakan pada 2021, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari yang kini menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata sumbangan berkenaan diperoleh hasil kerjasama dengan pelbagai rakan strategik, termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mendapatkan dana serta menanam kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan Harimau Malaya.
“Setakat ini, FAM telah menyumbangkan kira-kira RM200,000 kepada Tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya melalui hasil jualan tiket perlawanan bola sepak. Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak FAM,” katanya dalam ucapan merasmikan Majlis Hari Harimau Sedunia Peringkat Kebangsaan yang disambut 29 Julai setiap tahun.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Presiden FAM Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub.
Dalam pada itu, Johari berkata Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021 telah bersetuju untuk melaksanakan tindakan strategik luar biasa bagi konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun bermula 2021 hingga 2030.
Beliau berkata tindakan berkenaan menerusi tiga pendekatan iaitu mengukuhkan usaha bagi menghentikan penurunan populasi, meningkatkan tadbir urus baik dan keberkesanan dalam melaksanakan konservasi, serta memperkasakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya.
“Hasil pemantauan yang dilaksanakan oleh Perhilitan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati populasi Harimau Malaya telah menunjukkan peningkatan.
“Perkembangan ini memberi petunjuk positif terhadap usaha yang telah dilaksanakan termasuk dari segi pemuliharaan habitat melalui skim akreditasi dan pengiktirafan kawasan berkepentingan antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata Malaysia ketika ini sedang berusaha untuk mendapatkan akreditasi Conservation Assured Tiger Standards Taman Negara Pahang, Terengganu dan Kelantan serta Taman Negara Endau Rompin.
Di samping itu, beliau berkata Perhilitan juga sedang berusaha bagi mendapatkan pengiktirafan Taman Warisan ASEAN (AHP) bagi Rezab Hidupan Liar Tengku Hassanal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial