Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kutipan Tabung Pahlawan Raih RM2.18juta

27/07/2025 09:36 PM

ALOR GAJAH, 27 Julai (Bernama) -- Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2025 yang dilancarkan sempena sambutan Hari Pahlawan berjaya mengumpulkan RM2.186 juta setakat 24 Julai, sekali gus menandakan sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap kebajikan para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata bagi memperluas capaian dan memudahkan sumbangan, kementerian turut memperkenalkan kempen sumbangan menerusi kod QR sebagai alternatif dengan sasaran minimum RM1 daripada setiap rakyat Malaysia.

“Kita tahu rakyat Malaysia melebihi 34 juta dan bayangkan kalau setiap seorang menyumbang minimum RM1, impaknya sangat besar.

“Untuk itu inisiatif QR Code ini yang mula diedarkan secara meluas melalui media sosial dan saluran rasmi kerajaan, diharap dapat menarik lebih ramai menyumbang, terutama generasi muda, agensi serta swasta,” katanya kepada Bernama selepas hadir ke Majlis Minum Petang Bersama Veteran ATM Negeri Melaka Sempena Hari Pahlawan 2025 di Dataran Gangsa di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Melaka dan Negeri Sembilan Mejar Muhammad Zarifi Tumin.

Terdahulu pada majlis tersebut, 120 veteran ATM Negeri Melaka mewakili 22 persatuan diraikan dan turut disampaikan sumbangan Bantuan Sara Hidup, Bantuan Institusi Pengajian TInggi, Bantuan Baik Pulih Rumah dan Bakul Rahmah kepada veteran terpilih.

Adly berkata sejumlah 151,000 ahli veteran ATM telah mendaftar dan beralih kepada penggunaan Kad Digital Veteran yang diperkenalkan pada September tahun lepas.

“Dengan adanya Kad Digital Veteran ini, para veteran tidak lagi perlu membawa kad fizikal, memandangkan semua maklumat ada dalam telefon pintar mereka. Jadi bagi yang belum melakukannya, kita amat menggalakkan agar mereka segera beralih kepada Kad Digital Veteran serta mengemas kini maklumat mereka.

“Walaupun kad fizikal masih digunakan namun versi digital ini menawarkan akses lebih mudah kepada ahlinya, terutama mengenai maklumat kesihatan, kebajikan dan lain-lain perkhidmatan,” katanya.

Adly berkata pihak JHVE juga sentiasa mengemas kini sistem tersebut, kerana pelaksanaan kad digital tersebut bukan sahaja menambah kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada veteran malah memperkukuh usaha kerajaan dalam memodenkan sistem pengurusan kebajikan pertahanan selaras dengan teknologi semasa.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan