Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Anwar Rasmi Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Di Muar Hari Ini

27/07/2025 09:35 AM

MUAR, 27 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini, menandakan bermulanya sambutan peringkat kebangsaan yang akan diteruskan ke seluruh negara.

Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dijangka turut hadir pada majlis tersebut bersama-sama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pada majlis itu, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan peluncuran serta menyempurnakan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 yang akan menjelajah seluruh negara membawa mesej perpaduan dan semangat cintakan tanah air.

Program sisipan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Tanjung Emas itu telah bermula sejak sejak Jumaat lepas dengan menampilkan pelbagai pengisian berunsur komuniti dan kekeluargaan seperti pertandingan mewarna dan Bintang Suara MADANI, persembahan kesenian, dan aktiviti kebudayaan tempatan.

Dua komponen utama yang menarik perhatian pengunjung ialah reruai usahawan Komuniti MADANI yang menghimpunkan peniaga mikro dan kecil dari seluruh negara, serta reruai perkhidmatan agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan pelbagai kemudahan kepada orang ramai.

Antara perkhidmatan disediakan ialah pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, pembaharuan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), saringan kesihatan wanita serta potongan bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 30 peratus.

Acara kemuncak hari ini turut merangkumi “Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk” dan persembahan konvoi melibatkan aset darat dan air, dengan penganjur menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung sebagai pencetus semangat kenegaraan menjelang 31 Ogos dan 16 Sept nanti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan