Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Nilai Usaha Kerajaan Berlandaskan Fakta, Bukan Sentimen Politik - PM Anwar

27/07/2025 03:27 PM

PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat menilai usaha dan dasar kerajaan berdasarkan fakta dan bukan dipengaruhi sentimen politik.

Beliau berkata walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif, masih ada pihak yang menyebarkan maklumat tidak tepat seperti harga minyak dan harga barang naik, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Ini negara bebas, demokratik, cuma kita harus beri penjelasan sebab dalam temu bual (semasa perhimpunan di Dataran Merdeka) itu ada ditanyakan (isu harga) minyak naik, padahal minyak turun. Pelbagai (fakta tidak benar).

"Maknanya, ini hanya sentimen politik, kebencian … tidak ikut fakta. Jadi, kita cadang supaya rakyat menilai mengikut fakta, kalau ada kelemahan kita boleh perbaik," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Jelajah Presiden PKR Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setiap inisiatif dilakukan kerajaan mungkin tidak sempurna, namun pihaknya sentiasa mencari ruang untuk membaiki permasalahan yang wujud.

" ... saya tidak katakan apa-apa yang kita buat sempurna, tetapi kita sentiasa mendengar dan ubah suai apa-apa yang perlu," kata beliau.

Terdahulu, Anwar yang tiba kira-kira 12.30 tengah hari pada majlis tertutup itu turut menyampaikan amanat Presiden dan menyantuni ahli PKR yang hadir.

Sementara itu, Anwar berkata beliau terbuka sekiranya pihak pembangkang mahu membawa usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menganggap perkara terbabit sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang sah.  

"Kita terbuka, ini proses yang betul. Nak bawa (usul tidak percaya). Sila bawa. Dia (Datuk Seri Hamzah Zainudin) kata nak bawa (usul) dah tiga tahun dah,” kata beliau.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Hamzah yang juga Ketua Pembangkang ketika berucap dalam perhimpunan di Dataran Merdeka semalam, yang mendakwa pembangkang kini sedang mempertimbangkan usul berkenaan untuk dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan