Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KUSKOP Laksana Sesi Libat Urus Dengan Koperasi, Cadang Gubal Akta Baharu

27/07/2025 06:16 PM

MELAKA, 27 Julai (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) sedang melaksanakan sesi libat urus bersama koperasi di seluruh negara dalam usaha menggubal akta koperasi yang baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502).

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata langkah itu diambil bagi menambah baik akta berkenaan sesuai dengan situasi dan cabaran ekonomi global pada hari ini.

“Pertama, (akta baharu ini digubal) untuk kita meliberalisasikan gerakan koperasi itu sendiri dan kedua, untuk kita memperkasakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai badan agensi kawal selia koperasi.

“Kita tahu situasi pada masa ini menuntut koperasi mengadaptasi perubahan yang berlaku dan itu semua memerlukan kawalan perundangan yang perlu kita tambah baik. Justeru, ini antara objektif kita menambah baik  akta untuk sesuai dengan situasi dan cabaran gerakan koperasi pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kuskop Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SKM Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

Ewon berkata sesi libat urus berkenaan bermula sejak tahun lepas dan pihaknya menjelajah ke beberapa negeri bagi mendapatkan pandangan daripada semua pihak berkaitan koperasi.

“Pada minggu hadapan, saya akan ke Sarawak untuk berjumpa pemain industri dalam koperasi untuk mendengar maklum balas dan pandangan mereka.

“Sebelum ini kita telah adakan (sesi libat urus) di Pulau Pinang, Sabah dan beberapa tempat lain dan saya harap dapat membentangkan akta baharu ini pada sidang Parlimen hujung tahun ini,” katanya.

HKN 2025 yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat lepas melibatkan 242 reruai pameran oleh pelbagai pihak temasuk agensi di bawah Kuskop dan berjaya menarik lebih 35,000 pengunjung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan