Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 16,000 Koperasi Diperbadankan Dalam Pelbagai Sektor Ekonomi - SKM

27/07/2025 06:26 PM

MELAKA, 27 Julai (Bernama) -- Lebih 16,000 koperasi di seluruh negara telah diperbadankan dalam pelbagai sektor ekonomi, dengan jumlah keahlian sebanyak 7.2 juta orang.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), pencapaian itu menunjukkan hampir satu perlima daripada populasi Malaysia adalah ahli koperasi.

"Sumbangan perolehan sektor koperasi yang mencecah RM68 bilion mencerminkan kepercayaan dan penerimaan masyarakat terhadap model koperasi sebagai platform pembangunan ekonomi yang inklusif.

"Selain itu, aset terkumpul koperasi mencecah RM173 bilion hasil daripada penggemblengan modal syer atau yuran ahli berjumlah RM18.3 bilion pada 2024," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena dengan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) selama tiga hari bermula Jumaat.

Menurut SKM, penganjuran kali ini melibatkan sebanyak 242 reruai daripada kementerian, agensi Persekutuan dan negeri.

Jualan Mega MADANI Koperasi Usahawan (JMKU) yang menawarkan diskaun hingga 30 peratus bagi barangan keperluan asas harian turut dianjurkan.

SKM memaklumkan pada majlis perasmian penutupan hari ini, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyampaikan anugerah kepada 10 koperasi yang mempamerkan prestasi cemerlang. 

Majlis perasmian penutupan bertemakan 'Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara MADANI' itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan