LENGGONG, 29 Julai (Bernama) -- Eksesais Keris Strike 2025 yang memasuki siri ke-30 semakin mendapat perhatian dan penyertaan negara luar sebagai pemerhati, sekali gus membuktikan keberkesanan program kerjasama ketenteraan pelbagai hala yang dilaksanakan sejak lebih tiga dekad lepas.
Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata tahun ini eksesais itu berjaya menarik penyertaan pegawai pemerhati dari Thailand dan Jepun.
“Hal ini menunjukkan pelaksanaan eksesais ini bukan sekadar mendapat perhatian daripada negara sahabat, malah menunjukkan keyakinan antarabangsa terhadap latihan bersama ini. Insya-Allah pada masa hadapan kita akan cuba libatkan lebih banyak negara sebagai pemerhati,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Serangan Akhir dan Majlis Penutup Eksesais Keris Strike Siri 30/2025 di Felda Lawin di sini hari ini.
Muhammad Hafizuddeain berkata eksesais kali ini turut menampilkan kelainan menerusi pelaksanaan latihan menembak langsung yang dijalankan di Lapang Sasar Tanjung Hantu, Segari semalam membabitkan sistem pelancar roket ASTROS II MLRS oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) serta sistem HIMARS oleh Tentera Darat Amerika Syarikat.
“Acara tembakan turut disaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, sekali gus satu penghormatan besar kepada angkatan tentera terlibat.
"Saya amat berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan trup yang mengambil bahagian terutama dalam fasa serangan akhir yang menjadi kemuncak latihan, malah kita boleh rumuskan matlamat kita dalam kerjasama ini telah pun tercapai," katanya.
Sementara itu, mengenai isu berkaitan pengurusan kontrak, beliau berkata Jabatan Audit Negara sedang meneliti perkara melibatkan ketidakpatuhan kepada prosedur dalam satu daripada projek terdahulu.
“Sebenarnya perkara ini sedang diteliti. Ia cuma melibatkan proses dalaman yang tidak dipatuhi sepenuhnya dalam pengurusan kontrak dan akan diperbaiki. Pada masa depan, kita akan lebih berhati-hati serta pastikan pengurus kontrak lebih teliti dalam soal kutipan dan pematuhan,” katanya.
Minggu lepas, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan kelemahan serius dalam pengurusan perolehan dan pentadbiran kontrak berkaitan kenderaan perisai TDM bagi tempoh 2020 hingga 2023.
Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata antara penemuan utama, kerajaan masih belum mengutip denda kelewatan bernilai RM162.75 juta daripada sebuah syarikat pembekal utama kenderaan perisai 8×8 GEMPITA, meskipun kontrak telah tamat sejak Disember 2022.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial