Ad Banner
 AM > BERITA

HTJS Diiktiraf Dunia Atas Kecemerlangan Penjagaan Strok

29/07/2025 08:20 PM

SEREMBAN, 29 Julai  (Bernama) -- Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) menerima dua pengiktirafan antarabangsa atas kecemerlangan penjagaan pesakit strok menerusi Anugerah Berlian EMS Angels dan Anugerah Platinum daripada Pertubuhan Strok Sedunia (WSO).

Anugerah itu diberikan atas pencapaian cemerlang hospital berkenaan dalam penjagaan pesakit strok, termasuk kejayaan mencatat masa 'Door-to-Needle’ terpantas di Malaysia, yang merujuk kepada tempoh masa dari ketibaan pesakit di hospital hingga menerima rawatan trombolisis.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zuraida Mohamed berkata pengiktirafan berprestij itu disampaikan sempena Mesyuarat Menteri Serantau Gabungan Strok Sedunia di Hanoi, Vietnam, pada 24 Julai lepas.

Anugerah berkenaan diterima oleh Pakar Perubatan Kecemasan HTJS, Dr Emi Noorina Mohd Nor, yang mewakili hospital dalam majlis penganugerahan itu.

“Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi komitmen HTJS dalam mengekalkan standard tertinggi pengurusan rawatan strok, termasuk aspek tindak balas kecemasan serta perkhidmatan pemulihan menyeluruh merentas pelbagai disiplin,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Zuraida berkata status Platinum WSO diberikan kepada hospital yang mencapai prestasi cemerlang dalam indikator rawatan strok akut, manakala status Berlian EMS Angels mengiktiraf kerjasama unggul antara perkhidmatan perubatan kecemasan (EMS) dan pasukan hospital dalam memastikan rawatan segera kepada pesakit strok.

Beliau berkata kejayaan itu juga satu pencapaian membanggakan bagi komuniti penjagaan kesihatan di Negeri Sembilan serta mencerminkan dedikasi, penyelarasan dan profesionalisme pasukan klinikal dalam memberikan rawatan strok bertaraf dunia.

Selain HTJS untuk anugerah status bagi suku tahun kedua (Q2) 2025, dua lagi hospital awam menerima pengiktirafan status berkenaan, iaitu Hospital Umum Sarawak, Kuching (SGH) – Emas WSO dan Berlian EMS bagi Q1 2025; serta Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu – Berlian WSO bagi Q1 2025.

Bagi hospital swasta, Hospital Pakar KPJ Ipoh menerima status Berlian WSO bagi Q1 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan