JOHOR BAHRU, 29 Julai (Bernama) -- Hospital Pakar Johor (JSH) berjaya melaksanakan pembedahan histerektomi robotik pertama di wilayah Selatan menerusi prosedur biopsi nod sentinel untuk pesakit menghidap kanser endometrium peringkat awal, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam memperluas rawatan invasif minimum untuk wanita yang menghidapi penyakit itu.
KPJ Healthcare Berhad memaklumkan pembedahan itu menggunakan sistem robotik untuk membuang rahim, di samping mengenal pasti serta mengambil sampel nodus limfa "sentinel", iaitu nodus pertama yang boleh menunjukkan tanda penyebaran kanser, dengan prosedur itu turut menggunakan teknik pengimejan khas menggunakan cahaya (pendafluor).
“Pendekatan berkenaan membolehkan doktor mengumpul maklumat penting dalam satu pembedahan yang sama dan berpotensi mengelak keperluan pembuangan nodus limfa yang berlebihan.
“Kanser endometrium merupakan kanser yang paling kerap menyerang sistem reproduktif wanita. Bagi pesakit yang lebih berusia atau mengalami masalah kesihatan seperti obesiti, teknik pembedahan bantuan robotik menjadikan proses pembedahan lebih selamat dan kurang invasif, dengan teknik hirisan lebih kecil, kehilangan darah yang minimum dan tempoh pemulihan yang lebih singkat bagi pesakit yang sesuai,” menurut KPJ Healthcare dalam kenyataan hari ini.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan dalam kenyataan sama berkata pencapaian berkenaan mencerminkan fokus pihaknya terhadap inovasi di bawah KPJ Health System untuk memberi manfaat kepada pesakit dan memperkukuh amalan klinikal.
“Dengan memperluas akses kepada teknik pembedahan yang lebih selamat dan kurang invasif, kami menyokong aspirasi 'Care for Life' kami sambil memperlengkapkan hospital dan barisan pakar kami dengan kemudahan berteknologi tinggi serta latihan yang diperlukan demi masa depan penjagaan kesihatan,” katanya.
Pakar Perunding Onkologi Ginekologi di JSH Dr Ahmad Shuib Yahaya yang mengetuai prosedur itu berkata teknik berkenaan membolehkan pihaknya menumpukan kepada nodus limfa yang paling berisiko terjejas tanpa perlu membuang terlalu banyak nodus yang tidak diperlukan.
“Untuk pesakit, ia boleh mengurangkan komplikasi dan mempercepat pemulihan, selain pada masa sama dapat memberi kami maklumat yang diperlukan untuk merancang rawatan,” katanya.
Menurut KPJ Healthcare, pembedahan robotik kini semakin meluas digunakan di Malaysia merentasi pelbagai bidang perubatan.
Di JSH, ia kini diterapkan dalam onkologi ginekologi sebagai sebahagian daripada perjalanan transformasi KPJ Health System untuk memperluas pilihan pembedahan berteknologi tinggi di seluruh rangkaiannya termasuk dalam bidang ginekologi, urologi dan pembedahan am.
“Pencapaian ini juga menyokong KPJ untuk membangunkan Pusat Kecemerlangannya dan memperkukuh integrasi subkepakaran. KPJ Healthcare terus menyepadukan aspek klinikal, pendidikan dan penyelidikan bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada standard penjagaan yang selamat,” menurut KPJ Healthcare.
Untuk maklumat lanjut mengenai JSH, layari https://kpjhealth.com.my/johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial