SHAH ALAM, 27 Julai (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menitipkan pesanan kepada pesakit kanser untuk sentiasa berfikiran dan fokus kepada perkara positif dalam menjalani kehidupan seharian.
Dr Wan Azizah berkata dengan sedemikian mereka boleh membuktikan bahawa penyakit kanser bukanlah penamat kepada segala-galanya.
“Kita perlu sentiasa (berfikiran) positif, jangan (fikir) negatif. Hargai walau sekecil-kecil perkara.
“Kita perlu meraikan harapan yang membara dalam diri dan setiap daripada anda boleh membuktikan kanser bukan penamat. Kanser hanyalah untuk menguatkan diri kita insya-Allah,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Amal Pertubuhan Prihatin dan Sokongan Kanser Wanita (KAWAN) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata kerajaan melalui pelbagai jabatan dan agensi, terutamanya Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk pesakit kanser melalui Inisiatif Peka B40 dan Skim MySalam yang memberi insentif kewangan, bantuan alat perubatan, tambang pengangkutan bagi meringankan beban pesakit.
Beliau berkata perkhidmatan saringan awal kanser dengan bayaran yang nominal turut disediakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta fasiliti kesihatan lain di seluruh negara.
Terdahulu, ketibaan Dr Wan Azizah ke majlis berkenaan pada 5 petang disambut Pengerusi dan Pengasas Pertubuhan KAWAN Dorizima Md Yusof.
Sebanyak 330 individu diraikan pada majlis amal itu dengan 126 daripadanya merupakan pesakit kanser yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial