PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) kini memfokuskan penguatkuasaan pendidikan di semua peringkat dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Mei lepas.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penguatkuasaan pendidikan dalam perintah pemaparan harga ubat itu diteruskan meskipun terdapat pihak yang memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar peraturan berkenaan.
KKM menghormati proses perundangan yang akan berlaku dan akan memfokuskan usaha memberikan penerangan serta pencerahan kepada pihak terlibat dalam perintah pemaparan harga ubat.
“Kita akan teruskan perlaksanaan penguatkuasaan pendidikan supaya tidak ada lompong sehingga kajian semula kehakiman diputuskan oleh mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Penilaian Teknologi Kesihatan Kebangsaan 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) di sini hari ini.
Dzulkefly mengulas mengenai laporan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bersama tujuh yang lain memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar peraturan mewajibkan kemudahan jagaan kesihatan swasta mempamerkan harga ubat-ubatan.
Pemohon lain ialah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sabah (APPS), Persatuan Kemajuan Perubatan Fungsian dan Antara Disiplin Malaysia (MAAFIM), Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM).
Bermula 1 Mei 2025, semua premis klinik dan farmasi komuniti wajib memaparkan harga ubat yang dijual di premis masing-masing kepada pengguna.
Arahan itu dikuatkuasakan menerusi pewartaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025 yang menetapkan semua ubat perlu disertakan dengan tanda harga yang jelas, sama ada di rak pameran, katalog atau senarai harga bertulis.
Pada 4 Mei lepas, Dzulkefly menegaskan bahawa tiada denda atau kompaun akan dikenakan terhadap farmasi dan klinik swasta dalam tempoh tiga bulan sekiranya gagal melaksanakan pemaparan ubat kerana tumpuan KKM adalah pada aspek pendidikan terlebih dahulu.
Setakat ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mahupun KKM belum mengumumkan sebarang lanjutan kepada tempoh kelonggaran selama tiga bulan yang berakhir esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial