Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Berita-berita Ringkas Dewan Rakyat: 30 Julai

30/07/2025 04:41 PM

KAJIAN PENUBUHAN TRIBUNAL HAK ASASI MANUSIA DIJANGKA SIAP OKTOBER 

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kajian kebolehlaksanaan penubuhan Tribunal Hak Asasi Manusia di Malaysia dijangka siap pada Oktober ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.

Beliau berkata kajian itu dilaksanakan Jawatankuasa Kajian Kebolehlaksanaan Tribunal Hak Asasi Manusia (JKKTHAM) yang ditubuhkan pada Jun lepas dan melibatkan penelitian pelbagai perspektif serta input berkaitan aspek relevan dalam penubuhan tribunal berkenaan.

“Usaha ini bermula dengan satu mesyuarat awal yang saya pengerusikan pada 21 Nov 2024 bagi membincangkan cadangan penubuhan tribunal tersebut. Susulan itu, JKKTHAM ditubuhkan untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan secara menyeluruh,” katanya.

Kulasegaran menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) yang ingin tahu status terkini usaha kerajaan dalam memperkenalkan Tribunal Hak Asasi Manusia di Malaysia pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

2,812 UNIT RUMAH KELUARGA ATM SIAP, LEBIH 3,000 LAGI DALAM PEMBINAAN

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menyiapkan enam projek baharu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) melibatkan 2,812 unit di seluruh negara sejak 2022.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain itu, 10 projek RKAT di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) membabitkan 3,206 unit dengan kos RM1.002 bilion sedang giat dibina dan dijangka siap menjelang 2026.

“Seterusnya, lapan projek bina baharu RKAT melibatkan 2,456 unit masih dalam fasa perolehan dan ini melibatkan peruntukan RM1.4 bilion,” katanya menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berkenaan status pembinaan perumahan tentera di seluruh negara pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata di bawah Kerajaan MADANI, peruntukan senggaraan RKAT juga meningkat kepada RM426.5 juta pada 2025, naik 6.62 peratus berbanding RM400 juta (2024) dan RM236.7 juta (2023). 

-- BERNAMA

 

PASUKAN PETUGAS DITUBUH BANGUNKAN KURIKULUM CBC

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang telah menubuhkan Pasukan Petugas “Common Bar Course” (CBC) bagi membangunkan kurikulum, kaedah latihan, pedagogi dan piawaian CBC yang bakal menggantikan Sijil Amalan Guaman (CLP), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat 23 Julai lepas selepas mempertimbangkan dan bersetuju dengan kertas cadangan Jawatankuasa Kurikulum CBC bertajuk “Study on the Development of Curriculum, the Method and Practice of Training (Pedagogy) and Standards of the Common Bar Course to Replace the Certificate of Legal Practice”.

“Pasukan Petugas CBC ini terdiri daripada pakar institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta wakil daripada Majlis Peguam. Pasukan Petugas CBC ini akan mula menjalankan kajian dan membangunkan CBC pada 1 Ogos 2025 dan akan diselesaikan dalam masa lapan bulan iaitu pada atau sebelum 31 Mac 2026,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

 Kulasegaran menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai status terkini pelaksanaan CBC oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan